Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:42pm
Jurulatih AC Milan, Marco Giampaolo.

AC Milan dijangka pecat Giampaolo

MILAN: AC Milan dijangka akan memecat jurulatih Marco Giampaolo selepas permulaan hambar musim ini menurut beberapa laporan di Itali, hari ini.

Bekas gergasi Eropah itu kini di kedudukan ke-13 Serie A – tiga mata di atas zon penyingkiran.

Giampaolo, 52, menggantikan Gennaro Gattuso pada musim panas lalu tetapi bekas bos Sampdoria itu mengalami empat kekalahan dalam tujuh perlawanan awal, termasuk tewas 2-0 kepada pencabar tetangga, Inter.

Milan kemudian tewas dua perlawanan berikutnya kepada Torino dan Fiorentina sebelum kemenangan hujung minggu lalu 2-1 mengatasi Genoa.

Bekas pengendali Inter Milan, Luciano Spalletti menjadi pilihan utama juara Itali 18 kali itu untuk menggantikan Giampaolo, menurut Gazzetto Dello Sport dan Sky Sport Italia.

Bagaimanapun jurulatih berusia 60 tahun itu tidak bersetuju dengan beberapa syarat bersama Inter, yang dibimbingnya kembali ke Liga Juara-Juara sejak dua musim lalu dan masih memiliki kontrak hingga 2021, walaupun digantikan oleh Antonio Conte.

Bekas jurulatih Inter dan Fiorentina, Stefano Pioli juga dilaporkan menjadi antara pilihan juara Eropah tujuh kali itu yang kali terakhir menang gelaran Serie A pada 2011. - AFP

Berita Harian X