Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:59am
AC Milan pecat Giampaolo. - Foto Reuters

AC Milan pecat Giampaolo, Pioli ambil alih

MILAN: AC Milan memecat Marco Giampaolo selepas hanya tujuh perlawanan pengendali itu membimbing pasukan yang kini tergelincir ke tangga ke-13 Serie A, dengan bekas pengendali Inter Milan Stefano Pioli dijangka mengambil alih kelab yang pernah bergelar gergasi Eropah itu.

Giampaolo menggantikan bekas wira Milan Gennaro Gattuso, yang bersara selepas gagal layak kancah Liga Juara-Juara musim lalu dengan kedudukan di tangga kelima liga.

Tetapi selepas deretan empat kekalahan termasuk tewas 2-0 di tangan tetangga Inter, juara Eropah tujuh kali itu kini hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

“Kelab berterima kasih kepada Marco di atas usahanya dan mengharapkan karier profesionalnya terus berkembang,” kata Milan dalam satu kenyataan.

Pengendali 52 tahun itu bergelut membentuk Milan yang terpaksa menyerahkan tempat di Liga Europa selepas melanggar peraturan fair play kewangan UEFA.

Kemenangan 2-1 di Genoa Sabtu lalu tidak cukup untuk menyelamatkan bekas pengendali Sampdoria itu, yang menjadi jurulatih ketujuh Milan dalam tempoh lima tahun.

Pioli dilaporkan mengambil alih kelab berkenaan, yang kali terakhir memenangi gelaran liga Itali ialah pada tahun 2011 – untuk gelaran ke-18 mereka. – AFP

Berita Harian X