Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:03am
Tom Heaton tidak disenarai dalam skuad England berikutan kecederaan dialaminya.

Heaton cedera, England senarai Henderson

LONDON: England menyenaraikan penjaga gol Sheffield United Dean Henderson buat pertama kali berikutan kecederaan Tom Heaton menjelang aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria, kata FA England.

Henderson, 22, yang dipinjamkan ke Sheffield United oleh Manchester United, akan menyertai skuad 24 pemain Gareth Southgate hari ini selepas Heaton kembali ke Aston Villa susulan kecederaan dalam kemenangan mereka di Norwich City hujung minggu lalu.

Henderson dikritik oleh pengendali kelabnya Chris Wilder selepas memberikan kemenangan 1-0 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Bramall Lane pada 28 September, tetapi dia bangkit dengan keputusan seri tanpa jaringan di Watford pada Sabtu.

Henderson, yang tampil bersama skuad bawah 16 tahun hingga bawah 21 tahun England, akan ke Republik Czech dan Bulgaria bersama rakan seposisi Jordan Pickford dan Nick Pope untuk aksi Kumpulan A.

England kini mendahului kumpulan dengan 12 mata penuh daripada empat perlawanan dan akan layak ke pusingan akhir tahun depan sekiranya menang ke atas Czech yang menghuni tangga kedua pada sembilan mata daripada lima perlawanan.

Bulgaria di tangga tercorot dengan hanya dua mata selepas mengharungi lima perlawanan. – REUTERS

Berita Harian X