Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:55am

Misi lunas dendam di Hanoi

KUALA LUMPUR: Kekecewaan tewas kepada Vietnam di pentas akhir Piala AFF tahun lalu masih belum terpadam dalam memori Harimau Malaya.

Justeru, aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam esok bakal menjadi medan terbaik untuk Harimau Malaya membalas dendam terhadap skuad Naga Emas.

Malah, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin turut menjelaskan dendam kekalahan kepada Vietnam dalam Piala AFF di gelanggang sama kira-kira 10 bulan lalu harus dileraikan anak buah Tan Cheng Hoe.

"Saya sudah menemui pemain dan menyatakan kepada mereka bahawa kita perlu menang perlawanan menentang Vietnam bagi memastikan misi untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 terus berada pada landasan yang betul.

"Dengan skuad terbaik yang kita ada ini, saya berkeyakinan tinggi Harimau Malaya membawa pulang tiga mata penuh dan sudah tentu ia akan dapat juga memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA," kata Hamidin.

Hamidin hadir meninjau sesi latihan Harimau Malaya di Hanoi, semalam bagi memberikan kata-kata semangat buat anak buah Cheng Hoe.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan serta penolong pengurus pasukan, Datuk Posa Majais.

Tiga mata menjadi buruan Harimau Malaya di Hanoi bagi memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan G selepas mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan sebelum ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) dan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X