Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:25pm
JOSE Mourinho dan Mauricio Pochettino. - Foto AFP

Mourinho 'teropong' jawatan Pochettino

LONDON: Jose Mourinho dikatakan berminat untuk menggantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus di Tottenham, menurut laporan media di Britain.

Spekulasi yang mengaitkan Pochettino dengan perpindahan keluar dari Spurs kian meningkat susulan prestasi longlai ditunjukkan pasukan itu dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Segelintir pemain di kelab itu percaya pengendali dari Argentina itu sedang menunggu masa sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Spurs dengan akhbar Daily Mail mendakwa seorang pengurus berprofil tinggi sedang mengintai jawatan berkenaan.

Mourinho ketika ini tidak menguruskan mana-mana kelab sejak dipecat oleh Manchester United musim lalu dan pengendali dari Portugal itu membuat pertimbangan yang teliti selepas menolak tawaran Benfica dan ‘wang lumayan’ dari China musim lalu.

Tottenham ketika ini memerlukan perubahan besar dari sudut pemain dan ia dikatakan meningkatkan minat bekas pengurus Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan United itu.

Gergasi Sepanyol, Real antara kelab yang mendapat minat Mourinho sekali pun pengendali berusia 56 tahun itu pernah mengharungi tempoh yang sukar di Madrid.

Mourinho ketika ini sering dijemput menjadi pengulas untuk Sky Sports dan menegaskan tidak terburu-buru untuk kembali ke arena pengurusan.

“Saya perlu bersabar dan menunggu untuk peluang yang tepat dan peluang yang tepat bagi saya adalah perlu sama dengan kualiti dan tahap saya sebagai pengurus. Saya masih perlu menunggu pilihan yang tepat.” - Agensi

 

 

Berita Harian X