Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:39pm
Solskjaer masih mendapat sokongan pengurusan tertinggi Manchester United membabitkan potensi pembelian baharu buat kelab itu. - Foto AFP

Red Devils buru empat pemain

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer masih mendapat sokongan pengurusan tertinggi Manchester United dan dipercayai sudah menjalankan beberapa siri perbincangan membabitkan potensi pembelian baharu buat kelab itu.

Pengendali kelahiran Norway itu berdepan tekanan tinggi apabila United mengharungi permulaan terburuk Liga Perdana selepas lapan perlawanan dengan hanya menang dua kali dan dibezakan dua mata daripada zon penyingkiran.

Lawan United berikutnya ialah pendahulu liga Liverpool yang mengharungi rekod 100 peratus kemenangan musim ini dan timbul spekulasi jawatan Solskjaer mungkin terancam jika skuad kendaliannya tewas.

Begitupun, akhbar di England mendedahkan perlawanan itu bukanlah penentu kepada nasib bekas pemain United itu dengan pengurusan tertinggi sedar dengan tugasan berat yang dipikulnya.

Malah, beberapa perbincangan sudah dibuat bersama Solskjaer bagi membincangkan pembelian kelab itu di masa depan termasuk membawa masuk empat pemain baharu tahun depan dengan seorang daripadanya adalah penyerang.

Mereka dikatakan bersimpati terhadap situasi yang melanda United terutama di bahagian serangan dan kecederaan terhadap Anthony Martial atau Marcus Rashford pasti sukar untuk diterima selepas mereka membenarkan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez angkat kali.

Selain itu, Solskjaer juga diberi kuasa untuk menyingkirkan mana-mana pemain yang dikatakan tidak sesuai dengan United ketika ini memberi fokus kepada pemain muda manakala prestasi tiga pemain baharu, Daniel James, Aaron Wan-Bissaka dan Harry Maguire berjaya memikat hati pengurusan.

Legenda United, Gary Neville sebelum ini mendakwa kelab itu memerlukan sekurang-kurangnya lima pembelian baharu terutama di bahagian tengah.

“Mereka memerlukan beberapa pemain tengah, penyerang yang merbahaya dan sayap dan pertahanan. Mereka tahu apa yang mereka mahukan dan peminat juga mengetahuinya. Tetapi ia perlulah pemain yang tepat. Ia mungkin mengambil tempoh 18 bulan untuk mendapat pemain yang kamu harapkan.” - Agensi

Berita Harian X