Jumaat, 11 Oktober 2019 | 12:54pm

Harimau Malaya salahkan diri sendiri

HANOI: Tiada alasan boleh diberikan pemain negara kecuali menyalahkan diri sendiri selepas tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, malam tadi.

Hasil keputusan itu, Harimau Malaya perlu memungut mata penuh dalam dua aksi seterusnya di Kuala Lumpur menentang Thailand dan juga Indonesia, bulan depan.

Pertahanan negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak menjelaskan kegagalan pasukan bermain seperti kebiasaan jelas jadi antara punca kepada kekalahan itu.

"Kalau tengok kepada keputusan dan prestasi, apa yang kita buat secara keseluruhannya nyata berpihak kepada Vietnam. Kita tidak bermain permainan yang biasa kita amalkan sebelum ini.

"Kita kena terima yang malam ini (malam tadi) kita tidak sampai prestasi yang dimahukan. Apa pun inilah bola sepak.


PEMAIN Negara bersama penyokong selepas tamat perlawanan Malaysia menentang Vietnam bagi kelayakan Piala Dunia peringkat Kumpulan G, pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Selepas ini kita kena menang dengan Thailand dan Indonesia di gelanggang sendiri," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan maam tadi, impian Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan di Hanoi lebur apabila jaringan tunggal pemain Hanoi FC, Nguyen Quang Hai pada minit ke-40 memastikan kemenangan mutlak buat skuad Naga Emas.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara memilih jalan sukar untuk sekurang-kurangnya layak ke Piala Asia 2023 dan kini menghuni tangga keempat Kumpulan G, mengumpul tiga mata hasil kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada perlawanan pertama.

Ditanya mengenai sebab kegagalan skuad negara beraksi baik, Aidil bertegas tiada apa-apa yang boleh dikatakan.

"Mungkin ada sesetengah pemain gugup dan Vietnam tidak beri peluang langsung kepada kita untuk jaringkan gol. Secara tidak langsung membuatkan kami buntu.

"Kita tidak boleh beri alasan faktor padang keranan Vietnam pun main tempat sama. Tidak ada alasan lain kecuali kita gagal sampai tahap yang diinginkan. 

"Ada beberapa kelemahan yan perlu kita baiki," katanya.

 

 

PEMAIN Negara membantah keputusan pengadil selepas perlawanan di tamatkan pada perlawanan Malaysia menentang Vietnam bagi kelayakan Piala Dunia peringkat Kumpulan G, pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X