Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:32pm
PENGENDALI Vietnam, Park Hang Seo.

Malaysia lebih kuat sebelum perlawanan: Hang Seo

HANOI: "Sebelum perlawanan, Malaysia lebih kuat daripada Vietnam!

Demikian reaksi pengendali Vietnam, Park Hang Seo ketika mengulas kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh malam tadi.

Menguatkan kenyataan itu, Hang Seo berkata kelebihan nyata berpihak kepada Malaysia yang turut dibarisi pemain naturalisasi dan kacukan.

"Berbanding sebelum ini, (kali ini) Malaysia memiliki lebih ramai pemain luar malah mereka juga sudah mengkaji pasukan kami. Walaupun kami hanya menang 1-0, pemain mengikut segala arahan taktikal,” kata Hang Seo.

"Saya perlu katakan yang saya bangga untuk menerajui pasukan Vietnam."

Mohamadou Sumareh adalah pemain naturalisasi pertama negara manakala skuad kali ini diperkuat tiga pemain kacukan – Brendan Gan, Matthew Davies dan La'Vere Corbin-Ong.

Pada perlawanan malam tadi, impian Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan di Hanoi lebur apabila jaringan tunggal pemain Hanoi FC, Nguyen Quang Hai pada minit ke-40 memastikan kemenangan mutlak buat skuad Naga Emas.

Mengulas lanjut kejayaan pasukannya, Hang Seo berkata disiplin anak buahnya melaksanakan tugasan jadi kunci kepada kejayaan.

"Seperti kamu saksikan, pemain tidak boleh beraksi baik dalam setiap perlawanan tetapi mereka ikut segala arahan saya. Saya dapat lihat mereka bekerjasama antara satu sama lain dengan baik," katanya.

Berita Harian X