Sabtu, 12 Oktober 2019 | 7:41am
PENGURUS England, Gareth Southgate.

Southgate kecewa aksi hambar England

PRAGUE: Pengurus England, Gareth Southgate berkata pasukannya belum cukup bagus selepas kalah mengejut 1-2 di tangan Republik Czech  dalam saingan Kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

England boleh mara ke pusingan final jika menang perlawanan itu yang kini masih berbaki tiga perlawanan peringkat kumpulan, namun Southgate tidak gembira dengan persembahan anak buahnya.

"Kami berkunjung ke Prague dengan semangat tinggi,” katanya kepada wartawan.

 "Pemain semuanya manusia biasa dan ada malam kami tidak menjadi. Malam ini satu daripadanya.

"Kami perlu menerima keputusan itu dan kami belum cukup bagus, perlu kerja keras dan tahniah kepada Czech atas persembahan hebat mereka," katanya.

Keputusan itu membolehkan Republik Czech berkongsi 12 mata dengan England dalam Kumpulan A meskipun bermain lebih satu perlawanan.

Formasi England jelas tidak menjadi dan tampak bergelut serta tidak seimbang di bahagian tengah tetapi Southgate berkata masalah itu bukan disebabkan taktikal.

"Mengenai keseimbangan, kami tidak menguasai bola dengan baik. Kami perlu kerja keras untuk menjadi pasukan utama. Malam ini adalah buktinya, ia bukan aksi yang positif.” katanya.

England bakal berdepan Bulgaria di Sofia Isnin ini dan Southgate mengakui banyak kerja perlu dilakukan skuadnya yang kali ini tanpa kelibat pertahanan kiri, Danny Rose yang digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning.

"Ia jelas kami kami perlu meningkat lagi, itulah yang kami perkatakan sepanjang minggu,” kata Southgate.

"Kami gagal melakukan tindakan yang kami mahukan. Kami ada beberapa hari lagi. Kami perlu segera melakukan perubahan dengan tepat.”

Bekas sayap England, Chris Waddle, yang kini menjadi pengulas sukan di stesen penyiar BBC, terjkejut dengan persembahan hambar England yang sebelum ini menang semua empat aksi Kumpulan A.

"Persembahan mereka sangat, sangat teruk. Tiada seorang pemain pun memberikan aksi mengikut kemampuan sebenar,” kata bekas bintang Newcastle United, Tottenham Hotspur dan Olympique de Marseille itu. – Reuters

Berita Harian X