Sabtu, 12 Oktober 2019 | 8:15am
PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo (kiri) melakukan sepakan gunting ketika aksi menentang Luxembourg's. - Foto AFP

Portugal, Ukraine cerah peluang mara

LISBON: Juara Eropah, Portugal dan Ukraine kian hampir ke pusingan akhir Euro 2020 selepas masing-masing merakam kemenangan selesa aksi Kumpulan B di peringkat Kelayakan pagi tadi.

Ukraine menewaskan Lithuania 2-0 untuk kekal di tangga teratas kumpulan B dengan 16 mata daripada enam aksi manakala Portugal di tangga kedua dengan 11 mata hasil lima perlawanan dengan terbaru membenam Luxembourg 3-0 yang menyaksikan Cristiano Ronaldo antara penyumbang gol pagi tadi.

Serbia menduduki tangga ketiga dengan tujuh mata hasil lima aksi manakala Luxembourg mengutip empat mata daripada enam aksi manakala Lithuania tercorot.

Skuad Portugal yang bakal berkunjung ke Ukraine Isnin ini terlepas banyak peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol dengan Ronaldo kempunan merakam jaringan ke-700 di peringkat kelab dan antarabangsa.

Begitupun, jaringan kedua daripada Ronaldo membuktikan kebijaksanaanya apabila penyerang Juventus itu menyelinap sebelum memperdayakan penjaga gol lawan,  Anthony Moris dengan menyungkit bola dari luar kotak penalti melepasi jangkauannya.

Moris turut cemerlang menyelamatkan deretan cubaan bahaya tuan rumah namun tidak berdaya menghalang gawang dibolosi pada minit ke-16 menerusi sepakan kencang Bernardo Silva.

Penyudah tumpul menghalang Portugal menambah derita pelawat namun Ronaldo menemui sasaran untuk menjaringkan gol antarabangsa ke-94 sekali gus gol ke-699 di peringkat senior sebelum Goncalo Guedes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-89.

Ukraine, yang akan meraih tiket pusingan akhir Euro 2020 jika menang ke atas Portugal di laman sendiri Isnin ini, mudah membenam Lithuania hasil jaringan Ruslan Malinovskiy.

Pemain midfield itu memecah kebuntuan dengan rembatan kaki kiri melepasi kekangan Junior Moraes dan menambah jaringan kedua hasil sepakan percuma melepasi tembok pasukan lawan.

Pada aksi Isnin ini juga, Serbia mesti menang ke atas Lithuania bagi menghidupkan peluang untuk mara. – Reuters

Berita Harian X