Sabtu, 12 Oktober 2019 | 8:52pm
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (lima, kiri) bersama Timbalannya Steven Sim Chee Keong (empat, kiri) ketika gimik pelancaran sempena Bulan Sukan Negara di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Bengkel khas rangka hala tuju NFDP

KUALA LUMPUR: Selari dengan peruntukan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang ditambah pada Belanjawan 2020, satu bengkel khas bagi merangka perancangan NFDP untuk jangka masa lima tahun akan datang bakal diadakan pada 21 Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bengkel itu nanti bakal membincangkan pelbagai aspek pembangunan bola sepak dalam penambahbaikan program yang diwujudkan sejak tahun 2014.

"Kita mahu pastikan bukan sahaja ada seorang Luqman (Hakim Shamsudin) tetapi ratusan lagi Luqman dilahirkan menerusi lanskap bola sepak tanahair," kata Syed Saddiq selepas merasmikan Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini hari ini.

“Kita tak boleh hanya beri tumpuan kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tetapi kita juga kena wujudkan lebih banyak pusat wilayah dan perlu bertapak lebih mendalam di Sabah dan Sarawak supaya kita dapat wakil yang secukupnya dari Sabah dan Sarawak. 

"Kita juga jangan sesekali lupa dan menafikan pembangunan wanita yang turut minat dalam bola sepak.”

Untuk rekod, NFDP yang sekadar diperuntukkan RM15 juta pada Belanjawan 2019 memperoleh peningkatan tiga kali ganda apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan RM45 juta bagi NFDP dalam Belanjawan 2020.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MSN bersama-sama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan bengkel NFDP selari dengan Peta Hala Tuju FAM atau F:30.

"Bengkel ini nanti akan membincangkan inisiatif yang akan diguna pakai dalam melaksanakan NFDP,” kata Ahmad Shapawi yang akan memperincikan intipati bengkel selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama FAM pada Khamis depan.

“Insya-Allah bengkel itu akan membabitkan pemegang taruh dalam NFDP dan juga bekas pegawai NFDP yang pernah menguruskan sebelum ini bagi kita mencari perkara yang boleh ditambah baik kepada program sedia ada.

"Banyak perkara yang boleh dibincangkan dalam program pembangunan sukan termasuklah daripada aspek kebajikan atlet, pakej pembelajaran, pembabitan pegawai teknikal yang lebih khusus membabitkan jurulatih dan lain-lain."

Berita Harian X