Sabtu, 12 Oktober 2019 | 8:58pm
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Proses bidaan Piala Dunia 2034 dikaji 

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji proses penyediaan dokumen bidaan Piala Dunia FIFA 2034 di ASEAN akan diadakan di Kuala Lumpur dalam masa terdekat dengan Thailand bakal mengetuai mesyuarat itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila pada Rabu lalu berkata secara amnya kesemua Menteri Sukan negara anggota ASEAN bersetuju dengan keputusan yang dibuat pemimpin negara ASEAN pada Jun sebelum ini bagi ASEAN menawar diri sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA buat kali pertama.

"Kebetulan sebelum ini Malaysia pernah melakukan kajian kemungkinan yang digunakan sebagai asas untuk membuat keputusan tersebut (bidaan) dan pada kali ini Menteri-Menteri Sukan ASEAN bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji dengan lebih mendalam khususnya dalam menyediakan dokumen mengikut keperluan yang diperlukan FIFA bagi persediaan tuan rumah,” kata Ahmad Shapawi.

"Kita tahu bagi Piala Dunia 2026, kita ada Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat menganjurkan Piala Dunia 2026, jadi di peringkat ASEAN nanti berkemungkinan besar nanti bukan sahaja tiga tetapi mungkin empat atau mungkin lima negara yang mungkin berminat menganjurkannya." 

Ahmad Shapawi berkata mesyuarat Jawatankuasa Kerja itu nanti akan turut membabitkan penyertaan persatuan bola sepak negara anggota ASEAN dalam membincangkan bagaimana usaha untuk melakukan bidaan.

"Paling tinggi sekarang ini tiga negara negara bergabung sebagai tuan rumah dan sebelum ini Korea Selatan dengan Jepun (Piala Dunia 2002). Berbanding nanti jika ASEAN anjurkan mungkin boleh jadi 10 negara anjurkan atau empat negara. Semua perkara itu perlu diteliti berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh FIFA dan selepas ini kita akan bergerak sebagai ASEAN dan tidak berasingan," katanya.

Setakat ini, lima negara ASEAN – Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura menawarkan diri sebagai tuan rumah namun negara ASEAN yang lain berkemungkinan mampu dijadikan venue latihan.

Ahmad Shapawi berkata dengan peningkatan daripada 32 kepada 48 pasukan bermula Piala Dunia 2026 nanti, perbincangan tentang pembabitan negara ASEAN lain untuk dijadikan venue latihan juga bakal dikaji.

Selain pembabitan persatuan sukan negara ASEAN, Ahmad Shapawi berkata mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang bakal diadakan tidak lama lagi itu turut membabitkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Berita Harian X