Ahad, 13 Oktober 2019 | 8:05am
PEMAIN Itali, Jorginho menyempurnakan penalti dalam perlawanan menentang Greece di Stadio Olimpico, pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Itali, Jorginho menyempurnakan penalti dalam perlawanan menentang Greece di Stadio Olimpico, pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Itali, Federico Bernardeschi (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Greece di Stadio Olimpico, pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Itali, Federico Bernardeschi (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Greece di Stadio Olimpico, pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Itali meraikan kemenangan selepas menewaskan Greece di Stadio Olimpico, pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Itali meraikan kemenangan selepas menewaskan Greece di Stadio Olimpico, pagi tadi. - Foto Reuters

Itali sah kemaraan Euro 2020

ROME: Itali mengesahkan kemaraan ke Kejohanan Euro 2020 dengan baki tiga perlawanan peringkat kumpulan selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Greece di Stadio Olimpico, pagi tadi.

Penalti babak kedua yang disempurnakan pemain midfield Chelsea, Jorginho membantu Itali berada di depan sebelum pemain gantian, Federico Bernardeschi merembat gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 12 minit.

Skuad bimbingan Roberto Mancini sudah memenangi semua tujuh perlawanan peringkat kumpulan dan menduduki tangga teratas Kumpulan J dengan mengutip 21 mata manakala peluang Greece yang menduduki tangga kelima kian tipis.

Finland pula berdepan detik malang apabila dibelasah 4-1 di laman Bosnia & Herzegovina namun kekal di tangga kedua dengan 12 mata, dua mata di depan Bosnia manakala Armenia, terlepas peluang keemasan  menduduki tangga kedua apabila terikat 1-1 dengan Liechtenstein yang kekal di tangga tercorot.

Itali, yang memakai jersi hijau baharu kontroversi berbanding jersi biasa berwarna biru, bergelut mendapatkan gol di babak pertama meskipun menguasai perlmainan.

Begitupun anak buah Mancini menemui sasaran apabila rembatan Lorenzo Insigne terkena tangan pertahanan lawan, Andreas Bouchalakis lantas Jorginho menyempurnakan penalti pada minit ke-68.

Itali mengesahkan tiga mata apabila Bernardeschi yang masuk sebagai pemain gantian menyumbat gol kedua Itali.

"Kami agak gila pada babak pertama tapi tetap bersabar menggerakkan bola untuk membuka ruang,” kata Mancini kepada Rai Sport. "Kami menghantar bola jauh, ia tidak bagus.

“Pada babak kedua, ia agak relaks sikit, kami terus fokus dan akhirnya mencapai objektif kami.”

Kemenangan itu sudah menjamin laluan Itali ke pusingan akhir tahun depan sekali gus merakam kemenangan kelapan dalam semua pertandingan tapi masih kekurangan satu kemenangan untuk menyamai pencapaian dirakam skuad bimbingan Vittorio Pozzo pada musim 1938/39.

Dalam satu lagi aksi, dua gol jaringan pemain midfileld Juventus, Miralem Pjanic membantu Bosnia & Herzegovina membelasah Finland 4-1 ketika bertembung di Zenica.

Izet Hajrovic dan Armin Hodzic turut menemui sasaran manakala pelawat mendapat gol sagu hati menerusi jaringan Joel Pohjanpalo.

Armenia pula terlepas peluang berkongsi 12 mata dengan Finland selepas jaringan lewat Yanik Frick membolehkan Liechtenstein menyamakan jaringan awal Tigran Barseghyan untuk kedudukan terikat 1-1. – Reuters

Berita Harian X