Ahad, 13 Oktober 2019 | 7:04pm

Firasat Boban akhirnya jadi kenyataan

KUALA LUMPUR: Kejayaan menjulang Piala Cabaran, malam tadi harus menjadi penawar terbaik buat Johor Darul Ta'zim II (JDT II) selepas dikecewakan Sabah dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Harimau Selatan II memastikan kejuaraan pada edisi kedua kejuaraan itu selepas menumbangkan UKM FC 6-5 pada penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat.

Walaupun terpaksa memilih jalan sukar untuk mengesahkan kejuaraan, dari awal lagi pengendali JDT II, Ervin Boban tetap yakin yang anak mampu mengakhiri musim ini dengan satu piala.

"Inilah bola sepak, kadang-kadang kami berjaya buat keputusan dan pemilihan yang betul. Tetapi secara keseluruhan, ia aksi final yang hebat.


Harimau Selatan II memastikan kejuaraan pada edisi kedua Piala Cabaran selepas menumbangkan UKM FC 6-5 pada penentuan penalti. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Pemain UKM FC, Mateo Roskam (tengah) diasak pemain JDT II, Mohamad Fadhli Mohd Shas (kiri) pada perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Dari awal lagi pengendali JDT II, Ervin Boban tetap yakin yang anak mampu mengakhiri musim ini dengan satu piala. - NSTP/Supian Ahmad

"Kami hampir memenangi saingan liga tetapi selepas itu, saya yakin yang pasukan ini mampu memenangi sesuatu musim ini.

"Saya tidak boleh terangkan bagaimana emosi saya kerana bermain bola lebih muda berbanding sebagai jurulatih. Namun kami adalah keluarga JDT dan kami sentiasa menyokong antara satu sama lain," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.

Untuk rekod, Boban juga memiliki rekod yang baik ketika mewakili dan pernah memenangi Piala Malaysia bersama Johor pada 1991.

"Kredit kepada barisan kejurulatihan, pemain dan juga penyokong kami. Secara keseluruhannya, ia adalah perjalanan yang hebat dan saya bangga berada dalam sejarah bola sepak Johor, sebagai pemain dan juga jurulatih," katanya.

Pemain JDT ll, Muhamad Syazwan Andik Mohd Ishak (kiri) diasak pemain UKM FC, Mohd Akmal Md Zahir pada perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Berita Harian X