Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:01am
PEMAIN Wales, Gareth Bale (kanan) beraksi dalam perlawanan menentang Croatia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Stadium Cardiff City. - Foto AFP

Bale hidupkan peluang Wales

CARDIFF, United Kingdom: Gareth Bale mendapatkan satu mata buat Wales apabila mereka seri 1-1 berdepan naib juara Piala Dunia, Croatia awal pagi tadi namun harapan mereka tetap sukar untuk layak ke Euro 2020.

Bale, yang berdepan kesukaran pada permulaan musim di Real Madrid, menjaringkan gol pada masa tambahan babak pertama selepas jaringan pembukaan Nikola Vlasic buat skuad kendalian Zlatko Dalic.

“Kami perlu menang dua perlawanan seterusnya, dan itulah saja yang kami tumpukan. Ia bukanlah mudah tetapi kami boleh melakukannya,” kata jurulatih Wales, Ryan Giggs dengan skuadnya akan ke Azerbaijan sebelum menanti kehadiran Hungary pada November.

PEMAIN Wales, Gareth Bale meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Croatia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Stadium Cardiff City. - Foto Reuters

Tambahnya: “Apabila Gareth berada dalam posisi itu, dia tidak pernah menghampakan, hanya kelincahannya, tidak banyak peluang tetapi apabila dia mendapatnya, dia akan melakukannya.”

Dalic, yang mengetuai negaranya ke final Piala Dunia di Russia tahun lalu, berkata baki perlawanan mereka dalam kempen kali ini amat penting dalam usaha layak ke pusingan akhir.

“Kami bermula baik, menjaringkan gol tetapi gagal meneruskan cara yang sama,” kata Dalic.

“Kami tidak gembira dengan keputusan itu. Perlawanan terakhir akan menentukan nasib kami,” katanya yang akan menanti kehadiran Slovakia pada 16 November. - AFP

Berita Harian X