Isnin, 14 Oktober 2019 | 2:01pm
Pasukan Pahang sedia tewaskan Kedah. NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Tok Gajah yakin kecewakan Helang Merah

KUANTAN: Pasukan Pahang melahirkan keyakinan tinggi mampu menyekat Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata prestasi mantap dipersembahkan skuad Tok Gajah pada peringkat suku akhir ketika menewaskan Melaka United (MU) sebelum ini mampu diulangi.

"Walaupun tempoh rehat panjang, ia diharap tidak menjejaskan persiapan pasukan biarpun ada pemain dibelenggu masalah kecederaan. Saya percaya dengan komitmen dan semangat juang tinggi, dapat meletakkan pasukan pada tahap terbaik dan mencapai misi ke pentas final.

"Oleh itu, pemain perlu memanfaatkan sesi latihan minggu ini dengan prestasi membanggakan," katanya.

Dalam saingan peringkat awal Piala Malaysia sebelum ini, skuad kendalian Dollah Salleh muncul juara Kumpulan D manalala di suku akhir, ia menewaskan MU dengan agregat 6-1.

Namun, kecederaan dialami empat pemain iaitu Muslim Ahmad, Nor Azam Azih, Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Faisal Halim sudah pasti memberi tamparan buat skuad Tok Gajah.

Pada masa sama, situasi semasa kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha masih belum diketahui selepas kembali dari mewakili skuad Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Vietnam di Hanoi, minggu lalu.

Begitu juga dua import, Safuwan Bahadin dan Saddil Ramdani yang masing-masing turut beraksi mewakili Singapura dan Indonesia pada saingan sama.

Berita Harian X