Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:45am
Penyerang England, Marcus Rashford (tengah) cuba dihalang pemain Bulgaria pada perlawanan Kelayakan Euro 2020, pagi tadi. - Foto EPA

Insiden perkauman tak halang England kenduri gol 

SOFIA: Laungan suara monyet mencemari aksi perlawanan Bulgaria-England di Kelayakan Euro 2020 di sini sekali gus menyaksikan pengadil terpaksa dua kali menghentikan perlawanan sebelum Three Lions bangkit menebus kekalahan minggu lalu dengan membelasah tuan rumah 6-0 dalam aksi Kumpulan A, pagi tadi.

Pengerusi FA, Greg Clarke, yang hadir menonton perlawanan di Stadium Levski itu berkata: “Ini mungkin malam paling dahsyat dalam bola sepak pernah saya lihat.”

Sementara itu, stesen penyiar British ITV menunjukkan segelintir penyokong tuan rumah yang memakai pakaian hitam melaungkan suara monyet ke arah pemain kulit hitam England..

Pengurus England, Gareth Southgate sudah memaklumkan kepada delegasi UEFA sebelum ini bahawa mereka akan meninggalkan padang jika ejekan berbaur perkauman berterusan walaupun pengumuman rasmi dibuat supaya penyokong menghentikannya.

Pada perlawanan itu, pengadil menghentikan seketika perlawanan pada babak pertama sebagai mematuhi tiga protokol UEFA untuk mengatasi isu berkenaan.

Wartawan Sky Sports, Rob Dorsett berkata dia mendengar laungan suara monyet dalam enam kejadian ketika pemain England, Tyrone Mings dan Marcus Rashford sedang mengawal bola.

"Saya dengar dengan jelas seorang penyokong menjerit, ‘hei monyet’ ketika Mings mengumpan bola,” katanya.

Mings kemudian mengakui aksi itu dibayangi sedikit masalah namun lega keputusan itu membuktikan betapa mereka tidak terkesan dengan isu perkauman.

Penyerang England, Raheem Sterling kemudian menulis di laman Twitternya  bahawa dia simpati dengan Bulgaria ‘yang didokong oleh segelintir orang bodoh di stadium mereka.’


Pemain Englan d Raheem Sterling diasak dua pemain Bulgaria pada aksi Kelayakan Euro 2020, pagi tadi. - Foto EPA

Southgate pula memberitahu wartawan bahawa mereka sudah mengemukakan kenyataan tegas mengenai pematuhan protokol itu dan pendirian pemain bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Saya tidak fikir perlakuan seperti ini akan berlaku dalam perlawanan peringkat antarabangsa. Pada saya keputusan perlawanan ini lebih utama sebagai menyatakannya,” katanya.

Tiga Protokol UEFA membolehkan pengadil menghentikan perlawanani yang dicemari masalah perkauman disusuli dengan pengumuman umum di stadium supaya mereka segera menghentikan sebarang ejekan berbaur.

Langkah kedua adalah menghentikan perlawanan seketika dengan kedua-dua pasukan dibenar memasuki bilik persalinan jika masalah perkauman terus berlaku dan langkah terakhir ialah pengadil diberi kuasa menangguhkan terus perlawanan berkenaan dengan persetujuan pasukan yang menjadi sasaran perkauman.

Clarke berkata, dia difahamkan pihak berkuasa stadium itu berjaya menghalau lebih 50 penyokong yang membuat bising pada separuh masa pertama.


Pengendali England, Gareth Southgate percakap kepada pengadil, Ivan Bebek sejurus permainan dihentikan separuh pertama perlawanan menentang Bulgaria pada Kelayakan Euro 2020, pagi tadi. - Foto Reuters

Selepas kejadian pertama itu, pengadil menemui Southgate empat minit sebelum rehat dan bertanyakkan sama ada England mahu meninggalkan padang atau tidak, namun pengurus berkenaan berkata pihaknya mahu meneruskan aksi babak pertama itu.

"UEFA akan melakukan siasatan lanjut mengenainya,” kata Clarke.

Menurutnya, kes itu bukan saja dapat dilihat dengan jelas oleh pegawai rasmi dan semua pihak yang hadir di stadium bahkan rakaman siaran berkenaan jelas memaparkan perlakuan itu termasuk kenyataan saksi.

Southgate berkata, sebelum ini banyak perbincangan diadakan untuk mengatasi isu tersebut tersebut termasuk mengenai tindakan pemainnya meninggalkan padang.

"Pendirian kami jelas iaitu jika ia berterusan pada awal babak kedua, kami akan meninggalkan terus padang dan mujurlah kami tidak perlu melakukannya,” katanya.– Reuters

Berita Harian X