Selasa, 15 Oktober 2019 | 5:17pm
Menteri Besar Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) berucap pada Kongres Tahunan PBSNT 2019 di Hotel Permai, hari ini. - NSTP/Rozainah Zakaria
Menteri Besar Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) berucap pada Kongres Tahunan PBSNT 2019 di Hotel Permai, hari ini. - NSTP/Rozainah Zakaria

Nafuzi dilantik jurulatih baharu Terengganu FC

KUALA TERENGGANU: Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, akhirnya sah dilantik sebagai pembimbing baharu skuad Penyu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas kongres tahunan badan induk berkenaan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, bekas penyerang Terengganu itu diberi kepercayaan membimbing pasukan TFC selepas mengambil kira prestasi beliau sepanjang memangku tugas ketua jurulatih bermula pada 15 Mei lalu.

Menurutnya, Nafuzi akan dibantu penolong jurulatih baharu, Subri Sulong dan diberi mandat sepenuhnya untuk membentuk barisan pemain terbaik bagi saingan musim 2020.

"Kami lihat keberkesanan Nafuzi meningkatkan pasukan walaupun diberi masa yang singkat musim ini selain berjaya menaikkan prestasi pemain-pemain dan berani mengetengahkan pemain muda dalam pasukan.

"Atas faktor itu jawatankuasa PBSNT bersetuju untuk melantik Nafuzi menjawat jawatan ketua jurulatih TFC manakala Subri yang membantu pasukan Piala Belia Terengganu meraih trofi musim ini dilantik sebagai penolong jurulatih,” katanya dalam sidang media sejurus selepas Kongres PBSNT itu.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim dan ahli awatankuasa PBSNT.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terenggganu berkata sebanyak 60 peratus muka baharu akan menyarung jersi skuad TFC musim depan.

Katanya, dalam rombakan pasukan itu pihaknya meletakkan sasaran 80 peratus adalah anak jati Terengganu sekali gus dapat menjimatkan kewangan PBSNT selain mengetengahkan bakat anak tempatan.

Beliau juga mengumumkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak akan menjadi gelanggang rasmi pasukan TFC dalam saingan Liga Super bermula musim depan manakala pasukan TFC II akan beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Musim depan perlawanan pertama Liga Super 2020, TFC akan beraksi di SSMZA yang berkapasiti lebih besar. Kerja-kerja menaik taraf permukaan padang yang dilancarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan,” katanya.

Sementara itu, bagi jawatan ketua jurulatih TFC II pula, PBSNT bersetuju melantik penolong jurulatih musim ini, Roshadi Wahab menerajui pasukan itu manakala pasukan Piala Presiden akan diketuai Badrul Afzan Razali dan Wan Adremy Indera Wan Adnan bagi pasukan belia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X