Rabu, 16 Oktober 2019 | 7:41am
Reaksi pemain Sepanyol, Mikel Oyarzabal (tengah) yang gagal menjaringkan gol ketika menentang Sweden pada kelayakan Euro 2020, pagi tadi. - Foto REUTERS

Moreno bantu Sepanyol mara, Switzerland hidup peluang

PARIS: Gol penyamaan Rodrigo Moreno membantu Sepanyol layak ke pusingan akhir Euro 2020 selepas mengikat Sweden 1-1 dalam saingan peringkat Kumpulan F di Stockholm, pagi tadi.

Dalam pada itu, Republik Ireland masih berpeluang walaupun mereka tumbang 0-2 di tangan Switzerland.

Sepanyol muncul negara keenam mara ke pusingan akhir hasil sentuhan Rodrigo, yang tampil sebagai pemain gantian meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memastikan satu mata mengikat Sweden di Stockholm, sekali gus mencetus pesta kem pelawat.

"Kemaraan stau kemestian buat pasukan seperti Sepanyol manakala kemenangan kekal satu nilai,” kata Moreno. "Ia meredakan tekanan dan memberi kami ruang untuk melakukan kerja.”

Sepanyol menduduki tangga teratas Kumpulan F dengan 20 mata selepas seri dua aksi terakhir dan mendahului Sweden dengan lima mata dan enam mata di depan Romania, yang terlepas peluan mendaki ke tangga kedua apabila jaringan lewat Alexander Sorloth membantu Norway memgikat kedudukan 1-1 di Bucharest.

Sepanyal dalam pada itu tidak memperagakan aksi sebenar mereka meskipun bermula garang namun beransur perlahan selepas bertungkus lumus menangkis asakkan tuan rumah.

Kecederaan penjaga golnya, David de Gea menjejaskan rentak di babak kedua sekali gus memberikan berita buruk persiapan buat Manchester United yang akan berdepan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

Pemain Ireland, Shane Duffy (dua dari kanan) dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan ketika menentang Switzerland pada kelayakan Euro 2020, pagi tadi. - Foto Reuters

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, jaringan awal Haris Seferovic dan gol sendiri oleh Shane Duffy menghidupkan peluang Switzerland selepas menang 2-0 mengatasi Republik Ireland.

Kemenangan di Geneva itu membantu Switzerland mengurangkan defisit satu mata di belakang Ireland dan Denmark dengan baki dua perlawanan berbanding Ireland yang akan menanti kunjungan Denmark pada 18 November ini untuk memburu tiket kemaraan.

"Ia umpama final. Menewaskan Denmark untuk mara ke Euro 2020. Saya akan jadikan pertemuan itu sebagai permulaan,” kata jurulatih Republik Ireland, Mick McCarthy.

Switzerland, juga memiliki rekod seimbang dan akan bertemu pasukan kerdil Georgia dan Gibraltar pada baki dua saingan.

"Keputusan tadi tidak membawa makna besar peringkat kumpulan, kami masih perlu menang baki dua perlawanan. Jika kami mendapat mata penuh menentang Georgia dan Gibraltar kami boleh berikan tumpuan untuk Euro 2020," kata jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic.

Dalam pada itu, Finland hampir melayakkan diri selepas Teemu Pukki meledak dua gol ketika membantu negaranya membenam Armenia 3-0 di Turku.

Fredrik Jensen meletakkan Finland di depan pada minit ke-31 sebelum penyerang Norwich City, Pukki menambah gol kedua pada minit ke-61 sebelum menggandakannya dua minit sebelum wisel penamat.

Finland perlu menang ketika berdepan pasukan tercorot Liechtenstein untuk merakam kemaraan pertama pentas Eropah itu selepas pasukan tangga keempat, Bosnia & Herzegovina tewas 1-2 di tangan Greece menerusi jaringan sendiri Adnan Kovacevic, pada minit ke-88. – AFP

Berita Harian X