Rabu, 16 Oktober 2019 | 9:55am
Presiden Kesatuan Bolasepak Bulgaria (BFU), Borislav Mihaylov. - Foto REUTERS

PM Bulgaria paksa Mihaylov letak jawatan

SOFIA: Presiden Kesatuan Bolasepak Bulgaria (BFU), Borislav Mihaylov meletak jawatan semalam selepas insiden ‘laungan monyet’ mencemari perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang England kelmarin tatkala bos UEFA, Aleksander Ceferin senada dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino yang mahu masalah perkauman dalam sukan itu dihapuskan terus.

England membelasah Bulgaria 6-0 di Sofia namun perlawanan itu dihentikan seketika dua kali selepas dicemari dengan laungan berbaur perkauman oleh penyokong tuan rumah.

Perdana Menteri England, Boris Johnson menyelar perbuatan suara monyet dan tabik ala Nazi yang dilakukan penyokong Bulgaria itu sambil meminta UEFA bertindak tegas mengatasinya.

Reaksi Johnson itu disambut oleh Perdana Menteri Bulgaria, Boyko Borisov, yang mendesak Mihaylov meletak jawatan atau berdepan pemotongan bajet kerajaan jika enggan.

"Saya gesa Borislav Mihaylov segera melepaskan jawatan!" tulis Borisov di laman Facebook, sambil menambah “kejadian di Bulgaria tidak dapat diterima...ia berkaitan dengan perkauman dan xenophobia".

Beberapa jam selepas gesaan Perdana Menteri Bulgaria itu, Mihaylov menerusi kenyataan melepaskan jawatannya dan menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada ahli jawatankuasa eksekutif BFU, semalam.

Mihaylov meletak jawatan beberapa jam sebelum pejabat BFU diserbu oleh satu pasukan polis khas namun serbuan itu tidak pasti sama ada berkaitan dengan insiden perkauman di Sofia atau bersabit kes rasuah.

UEFA dalam pada itu mengumumkan akan menyiasat gelagat penyokong Bulgarian dan Ceferin berjanji akan mengambil langkah tegas memerangi gelaja itu hingga peringkat akar umbi.

"Seluruh warga bola sepak, setiap orang bermula dari petadbir hingga pemain, jurulatih dan penykong, perlu bekerja sama dengan kerajaan dan NGO memerangi perlakuan perkauman ini daripada masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, jurucakap pejabat Johnson berkata: "Perbuatan perkauman yang kami lihat dan dengar malam tadi sangat keji dan seharusnya tidak ada dalam bola sepak atau di mana-mana sukan sekalipun.

"Pemain pasukan England dan pengurusannya mempamerkan maruah sebenar dan ulasan Perdana Menteri ke atas pemain yang menjadi mangsa jelas tanda sokongan memerangi perbuatan itu.”– AFP

Berita Harian X