Rabu, 16 Oktober 2019 | 2:06pm
Baddrol mahu rakan sepasukan mengikat semua pemain Pahang yang dilihat mampu memberi ancaman ke pintu gol mereka. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Awasi semua pemain Pahang - Baddrol 

ALOR SETAR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mahu rakan sepasukan mengikat semua pemain Pahang yang dilihat mampu memberi ancaman ke pintu gol mereka pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Sabtu ini. 

Pemain yang digelar 'The Sniper' atau pakar rembatan jarak jauh ini tidak menganggap hanya Dickson Nwakaeme, Lazarus Kaimbi dan Mohamadou Sumareh yang perlu menjadi tumpuan, tetapi sebaliknya semua pemain lain juga perlu ‘diikat’ sama.

"Bukan sorang dua sahaja yang kita kena jaga dan kawal rapi, tapi semua pemain Pahang perlu kita awasi kerana mereka yang lain juga berpotensi melakukan kejutan ke pintu gol Kedah dan sedikit sahaja kesilapan jika kita leka, boleh merugikan pasukan." 

"Impian kami adalah untuk mengelak bolos dan seterusnya mencari bekalan gol selesa untuk dibawa ke Stadium Darul Makmur dan kami perlu terus fokus sepanjang 90 minit perlawanan untuk mengelak laluan berliku di tempat lawan nanti."

"Namun saya yakin melalui kerja keras serta dorongan jurulatih dalam latihan dan persiapan yang telah dan sedang kami jalani sekarang ini, kami mahu terus pertingkatkan keupayaan kami dalam semua posisi berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini."

Baddrol juga mengakui semangat serta motivasi dalam skuad Kedah bimbingan Aidil Sharin Sahak kini telah melonjak tinggi selepas skuad Lang Merah berjaya menjuarai Kumpulan A dan seterusnya layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini. 

"Saya jangkakan dengan semangat kebangkitan yang ditunjukkan oleh semua pemain dalam beberapa perlawanan sebelum ini mendorong kami terus meningkatkan momentum permainan dalam saingan separuh akhir yang dijangka sengit."

"Perlawanan terakhir di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini, bakal menjadi medan untuk saya dan rakan rakan membuktikan keupayaan terbaik kami di depan penyokong setia yang hadir memberi sokongan." 

"Sebagai kapten, saya menyeru penyokong Kedah untuk hadir 'menggegarkan' Stadium Darul Aman pada perlawanan penutup musim ini dan kami mengharapkan jumlah penuh 25,000 penyokong hadir memberi sokongan padu untuk pasukan, " tambahnya.

Berita Harian X