Khamis, 17 Oktober 2019 | 5:30pm

PBSNT pertahan lantik jurulatih muda

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mempertahankan keputusannya melantik jurulatih tempatan tidak 'ternama’ bagi membimbing skuad Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Biarpun jurulatih dipilih itu dilihat peminat masih 'mentah’ dalam aspek pengalaman di peringkat lebih tinggi namun kemampuan mereka tidak boleh dipertikaikan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui cabaran pasti dihadapi jurulatih muda itu dalam membimbing pasukan berkenaan namun percaya mereka begitu komited dan mampu menggalas tugas dengan baik.  

“Pada saya inilah cabaran perlu disambut bahawa sebenarnya anak-anak tempatan negeri kita juga mampu menjadi yang terbaik.

“Oleh sebab itu kita perlu melakukan perubahan dan kita akan bermula di sini kerana ini adalah DNA atau kesinambungan pasukan bermula TFC hingga TFC V, keadaan ini memudahkan kita membawa masuk pemain dari bawah untuk menyarung jersi skuad utama,” katanya selepas Kongres Tahunan PBSNT kelmarin.

Pada Selasa, Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mengumumkan Nafuzi Zain dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih TFC dibantu bekas ketua jurulatih skuad piala belia negeri, Subri Sulong manakala ketua jurulatih TFC II dikendalikan Roshadi Wahab.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, TFC akan kekal dengan lima pemain import musim depan begitu juga dengan TFC II yang kekal dengan empat import.  

“Pemain import memang kita perlu bagi mengekalkan momentum pasukan dan kuota lima import TFC akan diisi, cuma tiga lagi yang berbaki kita sudah menjalankan beberapa proses.

“Pengumuman belum dibuat lagi kerana kita mahu memuktamadkan dengan  perjanjian walaupun pemain import itu sudah dikenal pasti termasuk pemain import TFC II yang berfungsi sebagai pasukan sokongan,” katanya.

 

 

Berita Harian X