Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:09pm
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Solskjaer yakin United beli pemain yang betul

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer ‘100 peratus pasti’ kelab berkenaan memiliki struktur yang betul dan berkata mereka memiliki wang untuk memperkukuhkan skuad yang sedang bergelut itu.

United kini berkedudukan ke-12 Liga Perdana, hanya dua mata di atas zon penyingkiran dan 15 mata di belakang pendahulu Liverpool menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Old Trafford, Ahad ini.

Pengurusan kelab dan pemilihan pemain di bawah naib pengerusi eksekutif Ed Woodward berdepan kritikan teruk namun Solskjaer menggambarkan ia sebagai “penghinaan” ketika dia melihat kepada masa depan kelab.

“Saya ada kontrak tiga tahun, jadi sudah tentu kami merancang untuk tempoh yang lama,” kata Solskjaer kepada Sky Sports. 

“Jika anda tewas satu perlawanan anda tidak menunggu panggilan untuk mendapatkan kepastian tetapi kami sudah memulakan perancangan dan rancangan pembelian pemain sudah ada.

“Saya 100 peratus pasti bahawa struktur itu adalah betul kerana selalunya pengurus yang akan memberi kata putus.

“Saya tahu orang bercakap mengenai pembelian pemain kami tetapi ia seperti penghinaan kepada bahagian pemilihan, mereka yang mencari dan kami sebagai profesional – saya dan (penolong pengurus) Mick (Phelan), kakitangan. 

“Kami membuat keputusan mengenai pemain yang kami mahukan dan siapa yang boleh dibeli dan kemudian berlaku perbincangan.”

United membelanjakan £145 juta pound (RM779.84 juta) pada musim panas bagi mendapatkan Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James, namun Solskjaer berkata lebih banyak dana boleh dikeluarkan untuk pemain “sudah siap sepenuhnya”. - AFP

Berita Harian X