Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:42am
Timbalan Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward (kiri) dan Ole Gunnar Solskjaer.

Solskjaer layak kendali United – Woodward

LONDON: Timbalan Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward membidas semula kritikan pihak yang mendakwa kelab itu melantik individu yang salah mengendali Red Devils sambil tegas mendakwa Ole Gunnar Solskjaer pengurus yang tepat untuk memegang jawatan itu.

United memulakan musim terburuknya sejak1989-90, dengan hanya mencatat dua kemenangan daripada lapan aksi Liga Perdana Inggeris dengan sembilan mata dan terperosok di tangga ke-12 ketika ini.

Menjelang pertemuan liga menentang Liverpool Ahad ini, Woodward menggesa penyokong kekal bersabar dan terus berdiri teguh di belakang Solskjaer.

"Kehadiran Ole di pertengahan musim lalu memberikan kita banyak kejayaan dan berjaya menukar haluan seperti yang kita kehendaki,” kata Woodward ketika mesyuarat tahunan bersama staf United, di sini pagi tadi.

"Kita dapat lihat pasukan ini beraksi menepati falsafah yang diterapkan oleh pengurus dengan gaya permainan lancar dan pantas.

"Ole juga berjaya menerapkan disiplin tinggi kalangan pemain sejak tiba di sini. Dia membina semula pasukan ini dan berjaya membuatkan pemain kembali mengormati sejarah kelab. Di sini tiada siapa yang lebih besar daripada kelab ini.”

United membelanjakan kira-kira £140 juta (RM728 juta) mendapatkan Daniel James, Aaron Wan-Bissaka dan Harry Maguire selepas menamatkan liga di tangga keenam musim lalu.

Pada masa sama, juara 13 kali liga itu juga melepaskan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez tanpa pengganti sekali gus menyaksikan Solskjaer bergelut mencari penyerang.

Woodward ketika membalas kritikan berkata: "Realiti megenai Manchester United terbahagi kepada dua bahagian. Pertama kelab ini adalah yang terhebat dengan sejarah 141 dalam institusi bola sepak, lengkap dengan semua legasi dan tradisinya mencapai kejayaan.

"Sejarah itu kekal, tidak akan berubah. Kami perlu memeliharanya...apa yang penting ialah usah benarkan elemen komersial terlalu menguasai dan diberi keutamaan melebihi kepentingan bola sepak kita.

"Seperti juga kelab lain, perniagaan membenarkan kita membuat pelaburan semula membeli pemain. Inilah cara kita bertindak satu sama lain mengukuhkan Manchester United yang akhirnya memberikan kita kelebihan untuk terus mendahului dalam bidang ini.

"Memang terdapat mitos yang mengatakan orang di luar bidang bola sepak membuat keputusan untuk kelab ini, pada saya dakwaan seperti ini hanya menafikan kebijaksanaan seseorang yang mahu berkhidmat dengan kelab ini.

"Banyak staf di sini yang sudah bekerja dengan kelab ini melebihi tempoh 10 tahun. Bahkan ada yang sudah berjasa selama lebih 25 tahun.

"Kami sedang membesarkan beberapa jabatan beberapa tahun ini dan yakin ia akan memberi faedah setimpal. 

“Semua keputusan kelab akan dilakukan selepas mengambil kira pandangan pemain, pengurus dan staf sokongannya dan bukannya daripada pengurusan kanan kelab.” - Agensi

Berita Harian X