Jumaat, 18 Oktober 2019 | 8:01pm

Saingan Clasico ditunda akibat protes

MADRID: Saingan Clasico antara Barcelona dan Real Madrid - perlawanan bola sepak terbesar di Sepanyol - ditunda kerana protes di Catalonia, umum Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) hari ini.

Kedua-dua kelab diberikan tempoh hingga jam 10 pagi Isnin untuk mencari tarikh baharu yang akan ditentukan oleh RFEF jika mereka tidak mendapat kata putus.

Jadual asal ialah ia berlangsung di laman Barca, Camp Nou pada 26 Oktober.

“FC Barcelona dan Real Madrid mesti bersetuju dengan tarikh baharu pertemuan itu sebelum 21 Oktober,” kata kenyataan RFEF.

“Jika mereka tidak mencapai persetujuan, Jawatankuasa Pertandingan akan bertanggungjawab menentukan tarikh perlawanan itu.”

Dua tarikh dilaporkan sedang dipertimbangkan ialah Rabu 18 Disember ketika pasukan Sepanyol lain terbabit dalam Copa del Rey dan Sabtu, 7 Disember. - AFP

 

Berita Harian X