Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:22pm
Penyerang Kedah, Jonatan Jesus Bauman (kanan) diasak pemain Pahang, Lazarus Kaimbi pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - NSTP/Amran Hamid

Pahang ikat Kedah di Darul Aman

 

ALOR SETAR: Kedah menutup tirai aksi terakhir di Stadium Darul Aman musim ini dengan keputusan seri 3-3 berdepan Pahang pada separuh akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.

Walaupun mendapat sorakan gemuruh daripada 25,000 penyokong setia, Kedah dilihat gagal menunjukan rentak permainan sebenar dalam usaha mencari bekalan selesa bagi perlawanan separuh akhir kedua di Kuantan 26 Oktober ini. 

Pemain Pahang, Herold Mark Goulan (dua dari kanan) mengasak penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal (tiga dari kiri) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan jaringan minit ke-12 Pahang oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang bijak menewaskan Ifwat Akmal.

Tuan rumah cuba bangkit memburu gol penyamaan namun pertahanan mereka mengasari Saddil Ramdani memaksa pengadil Mohammad Zamzaidi memberikan Pahang sepakan penalti yang disudahkan Dickson Nwakaeme pada minit ke-25.

Kedah  yang kecewa selepas ketiggalan dua gol akhirnya membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi Fernando Rodriguez yang menerima hantaran Azammuddin Akil dari kiri gawang Pahang. 

Selang empat minit kemudian, Kedah mendapat peluang keemasan dengan sepakan penalti selepas benteng Pahang menjatuhkan Farhan Roslan namun sepakan Jonatan Bauman ditampan Helmi Eliza Elias. 

Kedah sekali lagi dihadiahkan penalti selepas Rodriguez dijatuhkan dalam kotak penalti dan peluang terhidang kali kedua tidak disia-siakan pemain itu untuk menyamakan kedudukan.

Penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias berjaya menangkap kemas cuba dirampas pemain pertahanan Kedah, Shakir Hamzah (tengah). - Foto BERNAMA

Aksi babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling melakukan asakan dan Pahang sekali lagi di depan pada minit ke-72 hasil jaringan Nor Azam Azih.

Di hujung babak perlawanan, Zaquan Adha menyelamatkan maruah Kedah apabila menanduk masuk selepas mendapat  hantaran Azammuddin untuk keputusan penuh 3-3. 

Berita Harian X