Ahad, 20 Oktober 2019 | 12:57pm

Letih punca JDT hanya menang tipis - Mora

JOHOR BAHRU: Faktor keletihan beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi punca pasukan itu gagal memberi persembahan terbaik sehingga hanya mampu menang 2-1 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

  Pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui ayam tambatan mereka, Safawi Rasid tidak menyerlah dalam perlawanan itu apabila tampak keletihan dan gagal beraksi seperti biasa sekali gus gagal mencipta peluang menjaringkan gol.

  Katanya, kekerapan beraksi dalam saingan tempatan dan antarabangsa menjejaskan rentak permainan pemain, namun pihaknya perlu menerima hakikat betapa pentingnya pemain itu untuk menyumbang kepada skuad kebangsaan dan kemudian memberi komitmen kepada kelab.

  "Safawi tampak keletihan dan dia sudah berusaha untuk beri yang terbaik. Kami akan memastikan dia kembali cergas dan seminggu ini sebelum bertandang ke Shah Alam, Selangor, saya optimis dia akan bersedia untuk aksi separuh akhir kedua.

  "Apa pun pertembungan malam ini (malam tadi) amat mencabar buat JDT kerana kita berdepan dengan pasukan yang bermain bola sepak yang bukan datang ke sini untuk bertahan sebaliknya beraksi secara permainan terbuka.

Pengendali JDT, Benjamin Mora. - NSTP/Rasul Azli Samad

Pemain JDT, Muhd Syafiq Ahmad (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pemain JDT, Muhd Safawi Rasid (kiri) berebut bola dengan pemain Selangor, Mohd Fandi Othman pada perlawanan separuh akhir pertama Piala di Stadium Larkin, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

  "Kami juga tidak beraksi seperti biasa. Dan seperti yang saya katakan beberapa pemain agak keletihan dan ia menjejaskan kelancaran permainan namun kami gembira membawa bekalan 2-1 ke Shah Alam," katanya.

  Mora menepis tanggapan betapa ketiadaan Diogo Luis Santo yang tidak diturunkan pada perlawanan itu menjejaskan barisan serangan sebaliknya kelibat Syafiq Ahmad yang mengambil alih tugas selaku penyerang mempamerkan aksi konsisten dan mampu menjaringkan gol.

  Katanya, corak permainan Santo dan Syafiq ada perbezaan kerana pemain import dari Brazil itu gemar mengawal bola dan kerap berada di dalam kotak penalti untuk melakukan penyudah manakala Syafiq lebih gemar mencari bola dan melakukan gerakan.

  "Kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting dalam pasukan JDT dan saya tidak mahu berbeza-bezakan mereka kerana masing-masing ada kualiti permainan tersendiri. Saya berpuas hati dengan komitmen Syafiq dalam perlawanan ini.

  "Kami masih belum pasti tahap kecederaan Diogo sama ada dia akan diturunkan Sabtu ini atau tidak, semuanya bergantung pada keputusan doktor Isnin ini dan kita tunggu sahaja keputusannya," katanya.

Pemain JDT, Muhd Safawi Rasid mengasak pemain Selangor, Mohd Fandi Othman pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Kapten JDT, Hariss Harun (kiri) berebut bola dengan pemain Selangor, Abdul Halim Saari pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X