Ahad, 20 Oktober 2019 | 9:32pm
PENYERANG Inter Milan, Romelu Lukaku meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Sassuolo. - Foto REUTERS

Inter menang tipis atasi Sassuolo

MILAN: Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez masing-masing menjaringkan dua gol ketika Inter Milan terselamat daripada kebangkitan lewat permainan untuk mengatasi Sassuolo 4-3 di Stadium Mapei hari ini.

Martinez meledak dalam tempoh dua minit sebelum Domenico Berardi menyamakan kedudukan namun Lukaku memberikan Inter kelebihan menerusi sepakan kencang dan penalti sebelum tamat babak pertama.

Martinez melebarkan kelebihan pasukannya 4-1 menerusi penalti selepas rehat namun Sassuolo kembali mendapatkan jaringan menerusi Filip Djuricic dan Jeremie Boga.

Skuad kendalian Antonio Conte bertahan untuk menamatkan saingan ketika tuan rumah cuba memberi tekanan bagi mendapatkan gol penyamaan.

“Kami melakukan perkara yang betul pada babak pertama dan sepatutnya boleh menambah jaringan pada babak kedua,” kata Lukaku kepada DAZN.

“Apabila ia menjadi 3-1 dan 4-1, ia sepatutnya sudah berakhir. Perkara positif yang kami boleh ambil ialah kami memungut tiga mata, tapi kami perlu bertahan lebih baik.”

Keputusan itu memberikan Inter kedudukan kedua dengan 21 mata, satu di belakang juara bertahan, Juventus dan empat di depan Atalanta yang berkedudukan ketiga. - Reuters

Berita Harian X