Ahad, 20 Oktober 2019 | 11:38pm
JURULATIH Sampdoria, Claudio Ranieri.

Ranieri beri mata pertama buat Sampdoria

ROME: Claudio Ranieri memberikan satu mata pada penampilan pertamanya selaku jurulatih Sampdoria dengan keputusan seri 0-0 berdepan bekas majikannya AS Roma dalam saingan Serie A sebentar tadi.

Minggu lalu pengurus itu menggantikan Eusebio Di Francesco untuk kali kedua tahun ini selepas menggantikannya untuk mengetuai Roma hingga penghujung musim 2018/19 pada Mac.

Ranieri yang menyambut hari lahir ke-68, menerima sambutan hangat daripada sebahagian penyokong di Stadio Luigi Ferraris sebelum menyaksikan pasukannya meraih satu mata.

Perlawanan itu kurang menampilkan peluang tetapi kembali hangat pada penghujung apabila pemain sayap Roma, Justin Kluivert dibuang padang kerana kad kuning kedua dan pemain gantian Sampdoria, Federico Bonazzoli dinafikan jaringan dengan aksi menyelamat hebat penjaga gol, Pau Lopez.

Ia menamatkan tiga kekalahan buat Sampdoria tetapi mereka kekal di tangga terbawah dengan empat mata manakala Roma keenam dengan 13. - Reuters

 

 

Berita Harian X