Isnin, 21 Oktober 2019 | 9:54am

Roma minta maaf, Vieira jadi mangsa perkauman

MILAN: Roma membuat permohonan maaf terhadap tindakan penyokongnya yang melakukan sorakan berbaur perkauman ke atas pemain tengah Sampdoria, Ronaldo Vieira dalam perlawanan Serie A yang menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan.

“AS Roma meminta maaf kepada Ronaldo Vieira kerana sorakan perkauman itu,” kata Roma dalam Twitter.

“Roma tidak bertolak ansur memerangi ejekan perkauman dalam sebarang bentuk dan kelab ini menyokong tindakan penguasa untuk mengenalpasti dan mengenakan tindakan mengharamkan individu yang didapati melakukan kesalahan perkauman terhadap pemain tengah itu.”

Sorakan monyet ditujukan kepada Vieira yang berumur 21 tahun pada penghujung babak pertama dalam perlawanan awal pagi tadi dengan pengumuman dilakukan menerusi pembesar suara di stadium, tetapi perlawanan tidak ditangguhkan.

Pemain pasukan bawah 21 tahun England, yang dilahirkan di Guinea Bissau dan dibesarkan di Portugal dan England, menyertai Sampdoria pada 2018 daripada Leeds United.

“Ini seringkali terjadi, ia tidak sepatutnya begini,” kata Vieira kepada televisyen Itali, Rai Sport.

Pemain itu kemudian menulis di Instagram miliknya: “Bola sepak mempunyai tanggungjawab dalam menghukum dan mengajar individu yang bodoh di dalam stadium hari ini. Bagaimanapun, ia adalah mata yang penting bagi pasukan.”

Sampdoria kemudian mengucap terima kasih kepada Roma dalam media sosial mereka dengan berkata: “Terima kasih. Bersatu hati bagi bola sepak yang lebih baik #stopracism (hentikan perkauman)” – AFP

 

Berita Harian X