Isnin, 21 Oktober 2019 | 11:05am
GARETH Bale dan Luka Modric.

Real ke Turki tanpa Bale, Modric

MADRID: Zinedine Zidane terpaksa berkunjung ke Turki tanpa Gareth Bale dan Luka Modric untuk berdepan Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Bale cedera selepas meledak gol ketika membantu Wales seri 1-1 menentang Croatia di Cardiff dalam Kelayakan Euro 2020 tempoh hari manakala Modric terpaksa digantikan selepas turut cedera ketika membantu negaranya.

Mariano Diaz dan Lucas Vazquez turut terlepas peluang ke Turki yang menyaksikan Madrid perlukan kemenangan untuk mencerahkan peluang mara dari Kumpulan A.

Los Blancos tewas 0-3 dalam aksi sulung di gelanggang Paris Saint-Germain dan kemudian terikat 2-2  kepada Club Brugge di Santiago Bernabeu, sekali gus ketinggalan di tangga tercorot kumpulan A ketika ini.

Pertembungan pagi esok adalah peluang terbaik buat kesebelasan Zidane bangkit menebus maruah selepas diaibkan 0-1 oleh Mallorca di La Liga Sabtu lalu.

Namun, kunjungan kali ini diperkuat dengan kehadiran semula Toni Kroos, Eden Hazard dan Dani Carvajal yang sudah sembuh dari kecederaan. – Agensi

Berita Harian X