Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:32pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Seri Kembangan, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Ambil dan latih graduan AMD sebaiknya - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: "Tolonglah ambil pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan latih mereka sebaiknya!"

Itu 'permintaan' daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada pasukan Liga Malaysia (Liga M) supaya dapat memberikan peluang kepada generasi pemain muda itu terus mendapat pendedahan secara profesional sekali gus mengembangkan lagi potensi mereka.

Jelasnya, minat yang ditunjukkan beberapa pasukan Liga M untuk 'memancing' graduan akademi elit itu disifatkan sebagai satu perkembangan yang positif dalam usaha menambah baik ekosistem bola sepak di negara ini.

"Kita ada pemain yang sangat berbakat di AMD dan saya mengharapkan pasukan bola sepak di negara ini dapat mengambil mereka dan memberikan peluang. Ini juga akan memberi faedah kepada pasukan juga.

"Kita sentiasa menyokong hasrat pasukan yang berminat dengan khidmat mereka untuk mendapatkan tempat, memberikan gaji yang bermaruah dan dilatih sebaik mungkin bagi mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang.

"Kita lebih memandang perkara ini sebagai pelaburan jangka masa panjang.  NFDP tidak boleh berjaya kalau bergerak sendiri tanpa bantuan pemegang taruh yang lain jadi pasukan Liga M perlu mengambil inisiatif sebegini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Seri Kembangan, sebentar tadi.

Sebelum ini,  Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mengakui langkah beberapa pasukan Liga M menawarkan kontrak profesional kepada graduan AMD sebagai pilihan paling tepat untuk membantu kelompok pemain itu terus berkembang.

Mengulas lanjut mengenai isu pampasan kepada AMD, Syed Saddiq menjelaskan perkara itu perlu diteliti dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PEMANDU sebelum keputusan dibuat mengenainya.

"Itu isu dasar jadi ia perlu dibincangkan dengan Jawatankuasa PEMANDU. Tetapi kita tidak mahu letakkan begitu banyak halangan kepada pasukan untuk mengambil mereka," katanya.

Terdahulu, peguam undang undang sukan, Zhafri Aminurashid menjelaskan setiap pasukan yang berhajat mendapatkan graduan AMD perlu membayar AS$50,000 atau RM209,605 setiap seorang sebagai pampasan kepada akademi elit itu berdasarkan peruntukan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

 

 

Berita Harian X