Isnin, 21 Oktober 2019 | 9:23pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) berbual bersama peserta seminar selepas menyampaikan ucaptama ketika hadir untuk Seminar Memperkasakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara di hotel Palace of Golden Horses Seri Kembangan. NSTP/Supian Ahmad

KBS jamin tiada lepasan AMD tercicir akademik, bola sepak

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pemegang taruh Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) memberi jaminan tiada graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan 'tercicir' sama ada dalam bidang akademik mahupun bola sepak.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata satu kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan diadakan bagi menentukan hala tuju lebih jelas selepas mereka tamat menjalani latihan bersama NFDP.

"Ini adalah antara inisiatif kita menerusi program yang akan dirangka untuk menyediakan perkhidmatan sokongan kepada pelatih selepas berusia 17 tahun. Sebagai contoh, kita sudahpun memperkenalkan sistem satu negeri, satu universiti, satu pusat pada tahun lalu.

"Atlet muda akan diberi keutamaan masuk ke universiti tempatan dan ditempatkan dalam skuad sukan seperti bola sepak di UiTM, kelonggaran sistem akademik dan biasiswa hoki seperti UniKL di mana mereka turut dikategorikan sebagai keutamaan untuk memasuki politeknik atau universiti awam terbaik.

"Kita akan pastikan walaupun mereka tidak cemerlang 100 peratus dalam akademik namun jika mereka memenuhi kriteria, sukan itu akan menjadi penanda aras untuk mereka mendapat pengajian terbaik. Ini adalah prinsipnya yang akan kita usahakan sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Seri Kembangan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq turut menjelaskan peruntukan sebanyak RM45 juta bagi NFDP pada tahun depan akan digunakan bagi memantapkan lagi program itu seiring dengan usaha kerajaan yang ingin melihat nama Malaysia kembali gah dalam arena bola sepak dunia.

"Peruntukan ini akan digunakan bagi menambah jumlah akademi tunas (AT) dan pusat latihan daerah (PLD) di seluruh negeri, menaiktaraf intrastruktur latihan sedia ada di AMD, pendedahan lathan dan perlawanan antarabangsa, menambah bilangan jurulatih dan penambahan jumlah pertandingan.

"Selain itu, kita juga ada sembilan inisiatif utama antaranya termasuk penubuhan akademi di setiap zon, pemerkasaan bidang kejurulatihan, pembangunan akar umbi lebih menyeluruh dan penstrukturan sistem pertandingan lebih sistematik," katanya.

Antara inisiatif lain yang bakal diperkenalkan selaras dengan perancangan F:30 FAM adalah memperkasa program pembangunan bola sepak wanita, penekanan terhadap sains sukan dan perubatan sukan, pencarian bakat di setiap peringkat dan pembabitan serta pendidikan ibu bapa.

Berita Harian X