Isnin, 21 Oktober 2019 | 10:21pm
PEMAIN Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih (kanan). NSTP/Amran Hamid

Ubat tahan sakit bantu Nor Azam

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih beraksi dalam kesakitan ketika membantu skuad Tok Gajah melakar keputusan seri 3-3 berdepan Kedah pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia 2019 di Alor Setar, Sabtu lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu meledak gol ketiga Pahang pada aksi di Stadium Darul Aman, namun mengakui beliau terpaksa mengambil ubat penahan sakit untuk memastikan dirinya mampu bertahan sepanjang 90 minit ketika diturunkan.

"Bahagian kaki sebenarnya bengkak dan sememangnya saya bermain dalam kecederaan di samping belum cergas sepenuhnya tetapi saya masih mahu bermain. Saya telah berikan segalanya pada perlawanan itu meskipun perlu mangakui mutu permainan tampak sedikit menurun di penghujung permainan.

"Bagi separuh akhir kedua, saya harap mampu pulih sepenuhnya dan bersedia tampil dengan aksi lebih baik berbanding di Darul Aman," katanya seperti dipetik dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Kedah bangkit dua kali untuk mengikat Pahang pada perlawanan itu selepas ketinggalan 0-2 sebelum sekali lagi menyamakan kedudukan 3-3 menerusi gol pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Mengenai peluang Pahang ke pentas akhir, Muhamad Nor Azam optimis bekalan tiga jaringan di tempat lawan satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya ketika melayani kunjungan skuad Lang Merah di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

“Memang kami cepat berasa selesa dan kurang fokus apabila mendahului lawan. Ssaya harap perkara sama tidak akan berulang lagi di Kuantan nanti.

“Bagaimanapun kelebihan tiga jaringan di laman lawan masih dalam tangan kami cuma kami tidak boleh berasa yakin dan perlu fokus dalam mendapatkan kemenangan,” tambah pemain berasal dari Jengka 21 itu.

-- BERNAMA

Berita Harian X