Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:00am
LYS Mousset selepas menjaringkan gol. - Foto Reuters

Jaringan Mousset hampakan Arsenal

LONDON: Sheffield United berganjak ke kedudukan pertengahan liga selepas menang 1-0 ke atas Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Bramall Lane pagi tadi sekali gus menamatkan lapan kemenangan Gunners.

Skuad bimbingan Unai Emery tidak kalah dalam lapan pertemuan semua kejohanan sejak mereka tewas 1-3 di tangan Liverpool 24 Ogos lalu sekali gus gagal mempertahankan kedudukan tangga ketiga.

Jaringan tunggal Lys Mousset dari jarak dekat memberikan semangat buat tuan rumah selepas Nicolas Pepe terlepas peluang keemasan meletakkan Arsenal di depan pada babak pertama.

"Merakam kemenangan di tempat sendiri dengan aksi yang mantap adalah sangat besar maknanya untuk kelab ini,” kata Pengurus Sheffield United, Chris Wilder kepada Sky Sports.

JARINGAN gol daripada Lys Mousset dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Bramall Lane. - Foto Reuters

"Kami berdepan tekanan pada separuh masa kedua tapi kami mampu mengekang mereka dan pertahanan kami beraksi baik untuk menghasilkan keputusan ini.”

Kekalahan itu meletakkan Arsenal di tangga kelima dengan 15 mata dua mata di belakang Leicester City dan Chelsea, manakala Sheffield United berganjak ke tangga kesembilan dengan 12 mata.

Arsenal melangkah ke laman lawan dengan bekalan lima kemenangan dalam enam pertemuan terakhir mereka manakala The Blades kalah tiga kali di tempat sendiri pada pertemuan terakhir mereka.

Emery nyata tidak gembira dengan kekalahan itu dan yakin anak buahnya sepatutnya diberi penalti pada babak pertama susulan kekasaran John Egan ke atas Sokratis Papastathopoulos, yang sudah dilihat pengadil Mike Dean.

"Dengan ada VAR, kekasaran ke atas Sokratis sepatutnya dilihat semula,” katanya.

"Ia sangat jelas satu kesalahan tapi kami terima keputusan ini. Kami tidak berhak kalah dan perlu kerja keras untuk terus meningkat.”

Pepe sebelum itu terlepas peluang untuk meletakkan Arsenal di depan selepas menyambar hantaran lintang Sead Kolasinac namun penyudahnya dari kotak penalti tidak menemui sasaran.

Sebaliknya Mousset menghukum pelawat itu yang leka tanpa mengawal Jack O’Connell yang menanduk sepakan sudut sebelum disudahkan dengan mudah dari jarak dekat pada minit ke-30.

Cubaan Granit Xhaka pula diselamatkan dengan cemerlang oleh Dean Henderson.

Pada separuh masa kedua, cubaan pemain gantian Arsenal, Dani Ceballos juga dinafikan oleh penjaga gol itu.

Pertahanan tuan rumah kekal utuh sehingga tamat perlawanan untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri. – Reuters

Berita Harian X