Selasa, 22 Oktober 2019 | 12:44pm
TONGGAK pertahanan Selangor, Syahmi Safari. - Foto Sairien Nafis

Red Giants buru gol awal

KUALA LUMPUR: Misi memburu gol awal menjadi buruan Selangor bagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Red Giants wajib mendapatkan kemenangan untuk mara ke pentas final selepas tewas 1-2 kepada Harimau Selatan pada aksi pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu lalu.

Tonggak pertahanan Selangor, Syahmi Safari menjelaskan jaringan awal sangat penting buat pasukannya ketika ini selepas JDT hadir ke Shah Alam dengan bekalan satu gol.

Bintang muda berusia 21 tahun itu berkata, dia dan rakan sepasukan juga perlu beraksi dengan disiplin lebih tinggi berbanding ketika aksi pertama di Johor Bahru.

"Motivasi kami berada pada tahap yang baik dan perlu memberi fokus sepenuhnya untuk perlawanan kedua di Shah Alam. Bagi saya peluang untuk kami ke final masih terbuka luas.

"Kami cuma perlu perbaiki segala kelemahan yang ada. Barisan pertahanan juga perlu bersedia untuk mengawal Diogo Luis Santo yang mungkin akan diturunkan Sabtu ini," katanya kepada BH Sukan.

Diogo tidak berada dalam senarai pemain JDT ketika aksi pertama dan dia difahamkan mengalamai masalah kecederaan.

Selain itu, Syahmi sangat mengharapkan seluruh penyokong dapat memenuhi Stadium Shah Alam dan memberikan sokongan padu kepada Selangor.

"Sorakan dan sokongan padu daripada penyokong pasti akan menambahkan lagi semangat semua pemain untuk bermain mati-matian bagi merebut tiket ke final," katanya.

 

Berita Harian X