Khamis, 24 Oktober 2019 | 10:44pm
Inter Milan dan Manchester United berminat mendapatkan Thomas Mueller. - Foto EPA

Inter Milan, Man Utd berminat dapatkan Muller

BERLIN: Inter Milan dan Manchester United berminat mendapatkan bekas bintang Jerman, Thomas Mueller, yang hilang tempat dalam kesebelasan utama Bayern Munich menurut laporan media Jerman, hari ini.

Pemain berusia 30 tahun itu sering mendapati dirinya berada di bangku simpanan musim ini di belakang Philippe Coutinho, yang lebih dipilih jurulatih Bayern, Niko Kovac di bahagian pemain tengah penyerang.

Menurut akhbar Kicker, Inter menunjukkan “minat mendalam” dan gergasi Itali itu boleh membawa Muller ke Milan pada perpindahan Januari manakala Sport Bild melaporkan kelab Liga Perdana, United yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan Mueller, juga berminat.

Mueller yang memiliki kontrak di Bayern hingga 2021, jarang membuat kemunculan dalam kesebelasan utama, hanya lima kali musim ini, di sayap kanan ketika menang 3-2 awal pagi Rabu lalu ketika saingan Liga Juara-Juara menentang Olympiakos, membantu untuk dua gol jaringan Robert Lewandowski.

“Saya cuba untuk memberi tumpuan kepada bermain bola sepak. Perlahan-lahan semua cakap-cakap itu akan tamat,” kata Mueller kepada wartawan di Athens ketika ditanya mengenai masa depannya di Bayern.

Dia menghabiskan keseluruhan kariernya di Bayern, yang disertai ketika masih bersekolah pada 2000, dan Presiden kelab, Uli Hoeness menyatakan dengan jelas tiada siapa mahu melihat Mueller meninggalkan kelab itu. - AFP

Berita Harian X