Ahad, 27 Oktober 2019 | 12:00am
Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme (kiri) diasak pemain pertahanan Kedah, Renan Da Silva pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Kedah singkir Pahang dalam aksi dramatik di Kuantan

KUANTAN: Kedah mara ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Pahang dalam aksi dramatik dengan agregat 8-8 apabila merekodkan keputusan 5-5 selepas masa tambahan pada aksi kedua separuh akhir di Stadium Darul Makmur, di sini, sebentar tadi.

Skuad Helang Merah layak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final 2 November ini menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas mencatatkan keputusan 3-3 pada aksi pertama di Alor Setar minggu lalu.

Terdahulu skuad Harimau Selatan mengesahkan tempat ke pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menang dengan agregat 5-1 ke atas Selangor apabila merakamkan kemenangan 3-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pemain Pahang, Herold Mark Goulan (dua dari kanan) mengasak penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal (tiga dari kiri) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Keputusan 3-3 pada aksi pertama di Alor Setar minggu lalu menyaksikan kedua-dua pasukan memulakan perlawanan malam tadi dengan corak permainan pantas untuk mendapatkan gol awal.

Namun, kapten skuad Helang Merah, Fernando Fodriguez mengejutkan tuan rumah apabila menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima umpanan daripada Baddrol Bakhtiar pada minit kelapan.

Selang empat minit, tuan rumah hampir menyamakan kedudukan 1-1 tetapi bola tandukan pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sedikit melepasi gawang.

Ketinggalan 0-1 ternyata memberi tekanan buat Pahang dan serangan bertali arus dilakukan sebelum peluang terbaik hadir menerusi Lazarus Kaimbi tetapi bola tendangan penyerang import dari Namibia itu ditepis penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim minit ke-23.

Pun begitu, penantian skuad Tok Gajah berakhir sebaik penyerang import, Dickson Nwakaeme menjaringkan gol penyamaan 1-1 dari luar kotak penalti menewaskan Mohd Ifwat pada minit ke-33.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat kembali berada di hadapan hasil sentuhan Jonathan Bauman menewaskan penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias minit ke-54. Selang 17 minit, Kaimbi kembali menceriakan penyokong Tok Gajah apabila menjaringkan gol penyamaan untuk kedudukan 2-2.

Belum sempat Kedah mengatur gerak, Kaimbi menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadi untuk meletakkan Pahang selesa mendahulu 3-2 pada minit ke-76. Namun selang sembilan minit, Kedah menyamakan kedudukan 3-3 hasil jaringan Baddrol untuk mengheret ke masa tambahan.

Sebaik bermain pada masa tambahan, Kedah tidak menunggu lama untuk kembali mendahului menerusi jaringan Renan Alves untuk meletakkan kedudukan 4-3 pada minit ke-92.

Pada minit ke-114, pemain pertahanan, Herold Goulon tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti dan merapatkan 4-4. Tiga minit sebelum tamat perlawanan, Rodriguez memadam impian tuan rumah untuk meletakkan Kedah 5-4.

Gol minit terakhir Nwakaeme untuk kedudukan 5-5 tidak membantu tuan rumah untuk mengisi slot ke final.

Berita Harian X