Isnin, 28 Oktober 2019 | 11:05am
REAKSI Granit Xhaka selepas dikeluarkan daripada permainan. - Foto Reuters

Xhaka silap lawan penyokong - Emery

LONDON: Unai Emery enggan mengesahkan sama ada Granit Xhaka akan dikekalkan sebagai kapten Arsenal selepas pengendali itu mengakui pemain Switzerland berkenaan tersilap langkah apabila melayan provokasi penyokong Gunners ketika keputusan seri 2-2 menentang Crystal Palace.

Skuad kendalian Emery mensia-siakan kelebihan dua gol di Stadium Emirates sebelum ejekan terhadap Xhaka menambahkan lagi ketegangan dalam kelab itu.

Ketika Xhaka digantikan dengan Bukayo Saka di babak kedua, pemain tengah itu keluar padang sambil bertindak balas dengan penyokong yang bersorak dan menggesanya keluar segera.

UNAI Emery

Xhaka akhirnya hilang sabar dan mengoyak bajunya sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong sebelum dia melintasi Emery dan masuk ke dalam terowong.

“Dia silap. Saya cuba untuk bertenang, tetapi dia silap dalam tindakannya,” kata Emery. “Kami sedang berusaha dengan pemain-pemain untuk bermain di bawah tekanan.

“Dalam situasi sukar anda boleh menjadi marah. Anda perlu bijak. Kita bermain untuk penyokong. Kita perlu menghormati mereka apabila mereka menyokong atau mengkritik kita.”

Selepas gagal layak ke Liga Juara-Juara musim lalu, Emery dalam keadaan tertekan untuk berada dalam kelompok empat teratas liga musim ini.

Di tangga kelima ketika ini, Arsenal diejek sebaik tamat perlawanan dan penyokong melaungkan nama Mesut Ozil yang tidak menjadi pilihan Emery.

Arsenal meledak dua gol awal menerusi Sokratis Papastathopoulus (m-7) dan David Luiz (m-9) tetapi Palace kembali menyamakan kedudukan menerusi penalti Luka Milivojevic (m-32) dan Jordan Ayew (m-52). – AFP

Berita Harian X