Khamis, 31 Oktober 2019 | 8:35pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Aziah Azmee

Pengadil Malaysia kendali aksi Jepun-Venezuela

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima jemputan daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk menghantar seorang pengadil dan penolong pengadil dari negara ini bagi mengendalikan dua perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan kebangsaan negara itu pada bulan depan.

Mengesahkan perkembangan itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya menamakan Mohd Amirul Izwan Yaacob sebagai pengadil bagi perlawanan Jepun menentang Venezuela di Stadium Panasonic Suita, Osaka pada 19 November.

Katanya, Mohd Amirul juga akan bertindak sebagai pegawai keempat bagi aksi skuad bawah 22 (B-22) tahun Jepun berdepan Colombia B-22 di Stadium EDION Hiroshima pada 17 November.

"Sementara itu, Mohd Yusri Muhamad pula akan bertindak sebagai penolong pengadil bagi kedua-dua perlawanan berkenaan yang menjadi sebahagian daripada Kirin Challenge Cup 2019.

"Ia menunjukkan bahawa pegawai perlawanan atau pengadil dari Malaysia memiliki tahap atau kualiti bertaraf antarabangsa dan terus mendapat kepercayaan untuk mengendalikan perlawanan di peringkat tertinggi.

"FAM berharap pegawai yang terpilih dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan terus konsisten dalam tugasan yang diberikan, sekali gus ilmu dan manfaat daripadanya dapat digunakan untuk membantu pembangunan pengadil di Malaysia," katanya.

Terdahulu, Mohd Amirul (pengadil) dan Mohd Yusri (penolong pengadil 1) serta dua lagi pegawai perlawanan dari Malaysia iaitu Mohamad Mu'azi Zainal Abidin (penolong pengadil 2) dan Razlan Joffri Ali (pegawai keempat), dilantik oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengendalikan perlawanan Kumpulan B, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Kuwait dan Taiwan di Stadium Jaber al-Ahmad, Kuwait City pada 14 November ini.

Selain itu, satu lagi kumpulan pegawai perlawanan dari Malaysia terdiri daripada Muhammad Nazmi Nasaruddin (pengadil), Mohamad Zairul Khalil Tan (penolong pengadil 1), Mohd Arif Shamil Abd Rasid (penolong pengadil 2) dan Suhaizi Shukri (pegawai keempat) turut dilantik FIFA untuk mengendalikan perlawanan Kumpulan F, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Myanmar menentang Mongolia di Stadium Mandalar Thiri, Mandalay pada 19 November ini.

Berita Harian X