Jumaat, 1 November 2019 | 11:15am
Reaksi Xhaka ketika menentang Crystal Palace di Stadium Emirates pada 27 Oktober lalu. - Foto Reuters

Xhaka mohon maaf

LONDON: Kapten Arsenal, Granit Xhaka meminta maaf susulan sikap memalukan ketika menentang Crystal Palace, Ahad lalu sambil mendedahkan ejekan ke atas isteri dan anaknya menyebabkan dia hilang sabar.

Perancang tengah Switzerland itu diejek penyokong sendiri semasa digantikan dalam aksi yang berkesudahan 2-2 di Emirates itu.

Xhaka kemudiannya memberi respon dengan melambai-lambaikan tangan supaya penyokong menyorak dengan lebih kuat dan menambahkan lagi ketengangan dengan meletakkan tangan di telinganya.

Dia akhirnya hilang sabar dan mengoyak bajunya sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong sebelum dia melintasi Emery dan masuk ke dalam terowong.

"Insiden yang terjadi sewaktu saya digantikan amat meninggalkan kesan mendalam. Saya amat menyayangi kelab ini dan sentiasa memberikan 100 peratus di dalam mahupun luar padang," katanya dalam satu kenyataan.

"Penyokong tidak memahami perasaan yang saya alami, dengan komen yang kesat dalam perlawanan dan media sosial sejak kebelakangan ini meninggalkan kesan mendalam terhadap saya.

"Orang ramai bercakap perkara seperti 'kami akan mematahkan kaki anda', 'membunuh isteri awak' dan 'mendoakan anak anda mendapat kanser'.

"Itu yang menambah kemarahan dan saya hilang sabar apabila saya terasa seperti tidak dihargai di stadium sendiri."

Xhaka berkata dia terbawa-bawa dan memberi reaksi buruk yang boleh dianggap sebagai 'tidak menghormati penyokong kelab, pasukan dan diri sendiri'.

"Saya tidak ada niat buruk dengannya dan saya meminta maaf sekiranya penyokong memikirkan sebaliknya."

Pengurus Arsenal, Unai Emery tidak menyenaraikan dia untuk perlawanan pusingan keempat Piala Liga menentang Liverpool pada Rabu lalu yang berkesudahan The Gunners tewas menerusi penentuan penalti selepas terikat 5-5 dalam aksi sebenar.

Arsenal akan menunggu kunjungan Wolves, untuk aksi Liga Perdana Inggeris, esok. - REUTERS

Jadual EPL:

ESOK

Bournemouth mln Man United, 8.30 mlm

Aston Villa mln Liverpool, 11 mlm

West Ham mln Newcastle, 11 mlm

Arsenal mln Wolves, 11 mlm

Sheffield mln Burnley, 11 mlm

Brighton mln Norwich, 11 mlm

Man City mln Southampton, 11 mlm

AHAD 

Watford mln Chelsea, 1.30 pg

C Palace mln Leicester, 10 mlm

ISININ

Everton mln Tottenham, 12.30 tgh mlm

Berita Harian X