Jumaat, 1 November 2019 | 11:13pm
Gambar fail, pemain Arsenal, Granit Xhaka (kiri) ketika perlawanan menentang Crystal Palace pada saingan Liga Perdana Inggeris, 27 Oktober lalu. - Foto Reuters

Tiada Xhaka aksi temu Wolves

LONDON: Unai Emery mengesahkan Granit Xhaka akan terlepas pertembungan Arsenal dengan Wolves, esok ketika pertelingkahan membabitkan pemain tengah Switzerland itu dengan peminat Gunners berterusan.

Xhaka dilihat menyumpah peminat Arsenal ketika dia digantikan pada babak kedua perlawanan menentang Crystal Palace yang berakhir seri 2-2 yang mengundang cemuhan serta ejekan, minggu lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu menutup telinganya, menunjukkan amarahnya dengan mengoyakkan jersi dan ia berterusan ketika dia melalui terowong stadium.

Xhaka berdepan kemungkinan dilucutkan lilitan kapten Arsenal dan disisihkan ketika kekalahan Gunners kepada Liverpool dalam kempen Piala Liga, Rabu lalu selepas pengurus kelab, Emery menegaskan reaksinya adalah salah.

Xhaka yang turut diejek penyokong sendiri ketika perlawanan dengan Aston Villa awal musim ini mendedahkan tindakannya itu adalah berikutan kesabarannya sudah menipis susulan ejekan terhadapnya serta keluarganya di media sosial.

Dengan kunjungan Wolves ke Emirates, kemungkinan untuk melihat pemain tengah itu sekali lagi diejek tinggi sekali pun dia sudah mengeluarkan kenyataan maaf dan Emery memutuskan lebih baik pemain itu tidak disenaraikan bagi mengelak gangguan kepada pasukan.

"Dia meminta maaf, dia memohon maaf kepada semua peminat, kepada semua orang dan kini fokus untuk perlawanan esok,” kata Emery. “Tetapi tiada dalam fikiran saya yang dia akan bermain esok. Saya fikir dia tidak akan bermain esok kerana saya fikir kami juga perlu fokus 100 peratus terhadap perlawanan.”

Xhaka menjadi watak yang tidak digemari ramai penyokong Arsenal susulan persembahan longlainya sejak tiba dari Borussia Moenchengladbach pada 2016.

Kegagalannya untuk menghalang hantaran yang membawa kepada gol penyamaan Palace pada perlawanan Ahad lalu dilihat menjadi punca sesetengah peminat meluahkan kekecewaan mereka. - AFP

Berita Harian X