Sabtu, 2 November 2019 | 10:39pm

Skuad B-18 negara cemas sebelum menang

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara mengharungi tempoh 45 minit mencemaskan sebelum memastikan kemenangan 5-4 ke atas tuan rumah, Kemboja pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Stadium Kebangsaan Olimpik, Phnom Penh, sebentar tadi.

Ia berikutan dua layangan kad merah yang diterima Ahmad Zikri Khalili dan Mukhairi Ajmal yang menyebabkan lebih banyak ruang diberikan kepada pihak lawan untuk mencipta kebangkitan.

Sebelum itu, Malaysia bermula langkah kanan apabila mengakhiri babak pertama dengan kedudukan selesa mendahului 3-0.

Gol skuad kendalian Brad Maloney dihasilkan oleh Muhammad Shafi Azswa pada minit ke-30, diikuti jaringan Muhammad Fakrul Iman, minit ke-40 dan Muhammad Azrin Afiq (m-43).

Selepas 14 minit aksi babak kedua bersambung, Ahmad Zikri dan Mukhairi dibuang padang dan peluang itu dimanfaatkan Kemboja untuk meledak dua gol pantas menerusi Met Samel pada minit ke-61 dan jaringan Chea Sokmeng, minit ke-65.

Minit ke-67, penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin terus mempamerkan ketajaman apabila meledak gol keempat negara diikuti jaringan kemenangan Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid pada minit ke-74.

Tetapi tuan rumah tidak mengalah apabila menambah dua lagi gol menerusi Sieng Chanthea (m-77) dan Ly Mael (m-90) sebelum terpaksa akur kecundang di laman sendiri.

Untuk aksi kedua Rabu ini, anak buah Brad Maloney dijadualkan menentang Brunei.

 

 

Berita Harian X