Sabtu, 2 November 2019 | 10:40pm
AKSI Joshua King ketika menjaringkan gol. - Foto Reuters

Jaringan King buat Man United putih mata

BOURNEMOUTH: Jaringan tunggal Joshua King menyekat kebangkitan Manchester United selepas tewas 1-0 kepada AFC Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Ledakan King pada penghujung babak pertama perlawanan di Stadium Vitality itu menyaksikan impian United untuk meneruskan rentak kemenangan berkubur dan menambah pening pengendalinya, Ole Gunnar Solskjaer.

Berpunca daripada gerakan di sebelah kanan, King tidak mensia-siakan hantaran baik Adam Smith apabila menampan bola menggunakan dadanya sebelum melepaskan rembatan voley padu menewaskan David de Gea.

Ia adalah jaringan pertama penyerang berusia 27 tahun itu yang juga bekas pemain akademi United di Liga Perdana dalam tempoh lebih sebulan.

United sebelum ini merakam tiga kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam semua kejohanan dan di sebalik permulaan baik, ketumpulan jentera serangan membuatkan mereka berputih mata.

Red Devils meningkatkan tempo permainan pada penghujung perlawanan dengan pemain gantian, Mason Greenwood hampir mencipta jaringan tetapi cubaannya menggegar palang.

Kemenangan menyaksikan Bournemouth kendalian Eddie Howe mendaki ke tangga keenam liga selepas mengutip 16 mata daripada 11 perlawanan manakala United kekal dengan 13 mata. - Reuters

Berita Harian X