Ahad, 3 November 2019 | 12:09am
AIDIL Sharin Sahak

Aidil tak salahkan pemain

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap memuji barisan pemain Helang Merah walaupun skuad itu tewas mudah 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Aidil mengakui bukan mudah untuk beraksi tanpa tiga tonggak utama termasuk dua di bahagian pertahanan Rizal Ghazali dan Renan Alves selain penyerang Fernando Rodriguez yang mengalami kecederaan.

"JDT pasukan yang sangat berkualiti dan kita turun tanpa tiga tonggak utama. Tapi itu bukan alasan dan yang paling penting pemain saya mengharungi musim yang baik termasuk dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Apabila Azmeer Yusof keluar (akibat kecederaan), anda boleh lihat (gandingan) tiga pemain baharu di bahagian pertahanan. Tapi ini bola sepak dan kita kena terima, saya tidak boleh salahkan pemain," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, jaringan JDT disumbangkan Leandro Velazquez, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad yang menyaksikan Harimau Selatan merangkul kejuaraan Piala Malaysia kali kedua selepas 2017.

Berita Harian X