Ahad, 3 November 2019 | 11:18am
Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid. - Foto BERNAMA

Kejayaan JDT hasil kerjasama semua rakan - Safawi

KUALA LUMPUR: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid, menyifatkan kejayaan skuad Harimau Selatan meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2017, adalah hasil kerjasama erat rakan sepasukan.

Penyerang kebangsaan itu yang dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia berkata, kemenangan selesa 3-0 ke atas Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, tidak akan hadir tanpa bantuan rakan sepasukan yang memberi sokongan padu di antara satu sama lain.

Untuk rekod, JDT menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, sekali gus menamatkan penantian selama 26 tahun pasukan selatan tanah air itu, untuk menjulang piala berkenaan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan semua yang terlibat dalam kem JDT.

"Saya memang mahu beraksi pada final tahun ini selepas tidak diturunkan pada 2017 dan impian saya untuk beraksi tercapai, jadi Alhamdulillah.

“Bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama JDT tanpa usaha," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Safawi, 22, turut memuji pengurusan JDT yang membeli beberapa peralatan moden dalam mempercepatkan proses pemulihan pemain, selepas beraksi secara kompetitif dalam tempoh yang agak panjang.

Berkongsi pandangan sama adalah seorang lagi penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 24, yang gembira dapat meraih tiga trofi bersama skuad Harimau Selatan pada musim ini setelah pasukan berkenaan mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut sejak 2014, selain mengekalkan Piala Sumbangsih buat musim kedua berturut-turut.

"Bagi saya, jaringan yang saya hasilkan bukan daripada saya seorang, tetapi daripada setiap pemain yang beri komitmen dan berusaha membantu saya menghasilkan gol tersebut," jelas anak jati Sungai Ara, Pulau Pinang itu.

JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi pemain import dari Argentina, Leandro Sebastian Velazquez yang menolak masuk umpanan cantik Gonzalo Gabriel Cabrera, sebelum Muhammad Safawi meledak gol kedua, selang tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma yang menggegar palang sebelum melepasi garisan gol Kedah.

Muhammad Syafiq mengesahkan kemenangan bergaya JDT, setelah menanduk masuk hantaran silang Mohd Afiq Fazail pada minit ke-58.

- BERNAMA

 

Berita Harian X