Ahad, 3 November 2019 | 9:34pm
Jose Mourinho (kiri) dan Unai Emery.

Mourinho terus buat Emery tak senang duduk

LONDON: Spekulasi membabitkan perubahan struktur pengurusan di Emirates terus meningkat selepas Jose Mourinho dilaporkan menemui Ketua Bolasepak Arsenal, Raul Sanllehi, minggu lalu.

Arsenal kendalian Unai Emery sekali lagi terlepas peluang untuk mengutip mata penuh dalam saingan Liga Perdana, semalam selepas diikat 1-1 oleh Wolves dan mengisi tangga kelima liga selepas mengumpul 17 mata.

Situasi itu jelas meningkatkan tekanan buat Emery yang mengambil alih tugas daripada Arsene Wenger dengan prestasi terumbang ambing pasukan itu dilihat berterusan musim ini.

Bekas pengurus Manchester United, Mourinho masih 'memburu' kelab yang sesuai untuknya selepas dipecat oleh Red Devils musim lalu.

Menurut akhbar Times, Mourinho yang juga bekas bos Chelsea baru-baru ini dilaporkan menikmati makan malam dengan Senllehi dan topik perbincangan mereka termasuk pelan bagaimana untuk mengembalikan kegemilangan pasukan.

Pihak pengurus tertinggi Gunners dikatakan bimbang dengan kerapuhan hubungan di antara Emery dan pemain senior skuad itu dan dikatakan bersedia untuk menjalankan satu lagi perubahan.

Justeru, mereka dikatakan sedang mencari pengurus yang memiliki pengetahuan mendalam terhadap Liga Perdana, seorang yang tegas dan memberikan identiti kepada pasukan selain tidak mempunyai kekangan bahasa seperti yang berlaku kepada Emery ketika ini.

Laporan itu turut mendakwa jodoh Emery hanya bertahan untuk tempoh 'satu atau dua perlawanan' menjelang rehat antarabangsa.

Mourinho baru-baru ini dilihat menonton aksi Arsenal ketika Liga Europa yang menyaksikan pasukan itu menang 3-2 ke atas Vitoria dan duduk di sebelah Sanllehi.

Pengendali berusia 56 tahun itu dikatakan berminat untuk kembali ke Liga Perdana dan menurut akhbar Sun, dia mahu menjadi pengurus pertama memenangi tiga gelaran utama bersama tiga kelab Inggeris. - Agensi

Berita Harian X