Isnin, 4 November 2019 | 10:38pm
MENDIANG Emiliano Sala. - Foto REUTERS
MENDIANG Emiliano Sala. - Foto REUTERS

Cardiff berisiko kena gantung

LONDON: Cardiff City akan berdepan penggantungan perpindahan pemain selama tiga musim sekiranya mereka tidak membayar kelab Perancis, Nantes ansuran pertama perpindahan Emiliano Sala yang maut dalam nahas pesawat udara, Januari lalu.

Perkembangan itu diumumkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Badan induk itu mengemukakan segala alasan yang menyatakan Cardiff perlu membayar ansuran pertama yang dipersetujui berjumlah 6 juta euro (RM27.77 juta) kepada Nantes.

Selepas menandatangani kontrak bernilai 15 juta pound (RM80.35 juta) bersama Cardiff pada Januari, Sala mengambil penerbangan ke Wales dari Nantes sebelum pesawat yang dinaikinya terhempas di Selat Inggeris.

Mayat penyerang berusia 28 tahun dari Argentina itu ditemui selepas tiga minggu nahas berlaku selepas pencarian dalam laut menemui bangkai pesawat berkenaan.

Jawatankuasa Status Pemain FIFA berkata jika Cardiff tidak membayar jumlah berkenaan dalam tempoh 45 hari selepas menerima perincian bank dari Nantes, “Penggantungan daripada mendaftarkan sebarang pemain baharu, tidak kira pemain tempatan atau antarabangsa, dengan tempoh maksimum selama tiga pendaftaran berturut-turut akan diaktifkan.”

Begitupun, penggantungan itu akan ditarik semula jika Cardiff mematuhi arahan berkenaan.

Cardiff City tidak memberikan maklum balas pantas mengenai situasi itu tetapi kelab itu sebelum ini berkata mereka berhasrat untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan di Switzerland. - Reuters

 

 

Berita Harian X