Rabu, 6 November 2019 | 11:11am
Fernando Rodriguez (dua dari kanan) dan Jonathan Bauman (tiga dari kiri) diraikan pada majlis makan malam sebagai tanda perpisahan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) semalam di Alor Setar. - Foto KFA

Rodriguez, Bauman sah tinggalkan Kedah

ALOR SETAR : Dua penyerang sensasi Kedah, Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman sah tinggalkan skuad Lang Merah selepas pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memutuskan untuk tidak menawarkan kontrak baharu untuk kedua pemain ini pada musim 2020. 

Laman rasmi KFA semalam menyatakan, kedua-dua pemain skuad Lang Merah ini diraikan pada satu majlis makan malam di Restoran Berputar Menara Alor Setar sebagai tanda perpisahan oleh pihak pengurusan KFA.

"Pengurusan pasukan memutuskan untuk tidak menawarkan kontrak baharu buat dua pemain tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya dalam kerjaya bola sepak mereka pada masa akan datang." 

"Sebelum pulang, Rodriguez dan Bauman turut menerima sambutan meriah oleh penyokong dan Ultras Kedah di perkarangan Menara Alor Setar sebagai tanda perpisahan dan penghargaan diatas sumbangan mereka membantu Kedah mencipta episod kejayaan manis musim ini." 

"Rodriguez akan bertolak pulang menggunakan penerbangan Malaysia Airlines pada Rabu ini jam (hari ini) 3.00 petang dari Alor Setar manakala Bauman pula bertolak pada hari Khamis ini." 

Rodriguez yang berasal dari Sepanyol berjaya mencatatkan pencapaian terbaik buat dirinya selaku penyerang berbisa Kedah musim ini apabila meledak 21 jaringan gol secara keseluruhan iaitu sembilan gol untuk Liga Super, empat gol dalam Piala FA dan lapan gol untuk Piala Malaysia dimana ini membuka peluang beliau merebut anugerah Kasut Emas Liga-M musim 2019 ini. 

Sementara pemain kelahiran Argentina, Bauman pula meledak 16 gol dengan enam gol dalam Liga Super, empat gol dalam Piala FA dan enam gol untuk saingan Piala Malaysia kali ini. 

Pencapai terbaik kedua-dua pemain ini yang bergandingan dengan seluruh pemain lain dalam skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini merupakan antara faktor Kedah menjuarai Piala FA, tempat keempat Liga Super dan layak ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Berita Harian X