Khamis, 7 November 2019 | 7:18am
PERMAIN Arsenal selepas perlawanan tamat menentang pasukan Vitoria Guimaraes. - Foto Reuters

Aksi goyah Arsenal berdepan Vitoria Guimaraes

GUIMARAES, Portugal: Prestasi menurun Arsenal berterusan apabila skuad itu menghampiri kelompok 32 pasukan terakhir Liga Europa dengan sekadar seri 1-1 di Vitoria Guimaraes awal pagi tadi.

Tandukan Shkodran Mustafi 10 minit sebelum tamat tampak akan memberikan Gunners tiga mata dan mengekalkan rekod 100 peratus tanpa kalah dalam Kumpulan F.

Namun Vitoria memastikan mata pertama mereka dalam kumpulan hasil gol penyamaan Bruno Duarte pada masa tambahan.

UNAI Emery. - Foto Reuters

Arsenal kekal di kedudukan terbaik untuk mara ke kelompok kalah mati, teratas kumpulan bersama 10 mata daripada empat perlawanan awal.

Bagaimanapun satu lagi persembahan longlai dan keputusan kurang baik tidak memberikan kelegaaan buat pengurus Unai Emery yang semakin diberi tekanan.

“Dalam kejohanan ini, sasaran kami ialah berada di tangga pertama kumpulan. Kami akan bermain dua perlawanan seterusnya untuk memastikan kami berada di kedudukan itu,” kata Emery.

Pengendali dari Sepanyol itu teruk dikritik kerana hanya menang dua kali dalam sembilan perlawanan Liga Perdana menyebabkan mereka ketinggalan enam mata berbanding empat pasukan teratas dan Emery tampak memberi tumpuan untuk berdepan Leicester Sabtu ini. - AFP

Berita Harian X